KANGAR – Isu berkaitan pengurusan zakat di negeri ini tidak melibatkan Jabatan Mufti Perlis kerana pentadbiran zakat berada di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin berkata, kuasa meluluskan agihan zakat adalah di bawah MAIPs dan tiada kaitan dengan Jabatan Mufti negeri.
“Pentadbiran zakat bukan di bawah Jabatan Mufti dan kuasa meluluskan zakat adalah di bawah MAIPs serta tidak ada kaitan dengan Mufti,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikaitkan dalam isu tersebut merupakan penerima zakat di bawah kategori asnaf fisabilillah berdasarkan aktiviti dakwah dan pendidikan yang dijalankan.
“NGO berkenaan bukan ejen atau wakil MAIPs untuk mengedarkan atau mengutip zakat, sebaliknya mereka adalah penerima zakat di bawah asnaf fisabilillah,” ujarnya.
Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua individu termasuk seorang timbalan presiden sebuah NGO kerana disyaki menyeleweng dana tempatnya bekerja berjumlah kira-kira RM230 juta. – KOSMO! ONLINE














