fbpx
Fadhlina.

Akses pendidikan digital di Limbang diperkukuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memulakan lawatan kerja tiga hari ke Sarawak bermula hari ini bagi menjayakan Program Tindak Susul Parlimen Kementerian Pendidikan di daerah Limbang.

Dalam lawatan ke SMKA Limbang, beliau melihat pelaksanaan Sekolah Model Pembelajaran Digital Luar Bandar yang bertujuan merapatkan kesenjangan akses dan penggunaan teknologi digital dalam kalangan murid dan guru luar bandar.

Menurut Fadhlina, inisiatif Delima Edge yang diperkenalkan di sekolah tersebut dapat menangani cabaran capaian internet di kawasan yang mempunyai sambungan rangkaian terhad atau tidak stabil.

“Secara keseluruhan, sekolah terlibat dalam Program Tindak Susul Parlimen di Limbang akan menerima satu unit papan pintar sumbangan Yayasan Guru Tun Hussein Onn, 140 unit tablet sumbangan Yayasan Didik Negara (YDN) dan RM60,000 bagi tujuan peningkatan bidang kebitaraaan digital,” katanya.

Selain itu, Fadhlina turut meninjau projek pembinaan blok bangunan baharu prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Limbang serta melawat SK Kuala Penganan bagi menyelesaikan isu infrastruktur yang berbangkit.

Mengulas mengenai kemajuan projek, naik taraf kelas prasekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Limbang dijangka siap pada Jun 2026, manakala pembinaan dua kelas prasekolah baharu di SK Bandar Limbang telah hampir siap sepenuhnya.

Program tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN