fbpx

Guru boleh lebih kreatif wujud suasana seronok belajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GURU akan membimbing para pelajar mengasah bakat dan minat mereka di sekolah. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) baru-baru ini memberi ruang kepada guru-guru menggunakan kreativiti dalam pelajaran sekaligus mewujudkan suasana belajar yang seronok.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, tekanan untuk mempersiapkan murid-murid menduduki peperiksaan UPSR menghalang guru-guru serta murid untuk melalui sesi pembelajaran yang kreatif.

“Bila terlalu fokus peperiksaan, guru-guru akan ‘drill’ murid-murid untuk fokus belajar semata-mata. Jadi, aspek kreativiti memang diabaikan seperti apa yang disebutkan oleh Menteri Pendidikan baru-baru ini.

“Pelajar juga tertekan apabila seawal Darjah 3 ada yang sudah dihantar ke kelas tambahan untuk persediaan menduduki UPSR. Jadi, anak pergi ke sekolah tiada suasa seronok belajar. Sedangkan, sepatutnya kalau betul-betul ikut sukatan pelajaran yang ditetapkan, anak-anak akan ada keseronokan dalam belajar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

AMINUDDIN

Sementara itu, Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Samsilah Roslan berkata, pemansuhan UPSR yang diumumkan baru-baru ini perlu disokong sepenuhnya supaya dalam melalui cabaran kini pelajar-pelajar boleh berjaya dan meneruskan perkembangan dan potensi diri masing-masing.

SAMSILAH

Jelasnya, pemansuhan UPSR itu dilihat mengurangkan tekanan pelajar dan ianya turut membantu menangani kesan negatif terhadap diri pelajar dalam keadaan norma baharu.

“Dengan mengurangkan tekanan-tekanan ini dan memberikan lebih banyak sokongan kepada mereka, kita boleh minimakan apa-apa kesan negatif yang disebabkan oleh banyak perubahan-perubahan ini di mana mereka perlu lalui fasa sekejap belajar di rumah, sekejap di sekolah.

“Kemudian suasana di sekolah juga tidak sama seperti dahulu apabila kini mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP), jaga penjarakan fizikal. Ini semua ada kesan kepada perkembangan mereka, jadi untuk mengurangkan kesan negatif ini wajar kita berikan sepenuh fokus dengan tidak menambah lagi tekanan seperti perlu duduki peperiksaan penting,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI