fbpx

Seks luar tabii: Lelaki tarik balik semakan kehakiman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki menarik balik semakan kehakiman untuk mencabar keabsahan pertuduhan seks luar tabii yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor ekoran keputusan mahkamah itu melepas tanpa membebaskannya (DNAA) daripada tuduhan tersebut, Isnin lalu.

Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi di sini hari ini membatalkan semakan kehakiman tersebut tanpa kos selepas membenarkan permohonan lelaki berkenaan.

Keputusan itu dicapai pada sesi pengurusan kes yang dijalankan secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Firdaus Sidqi Sharil Azli.

Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Husna Abdul Halim yang bertindak mewakili responden-responden iaitu Ketua Pendakwa Syarie Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor tidak membantah permohonan tersebut.

Peguam Tay Kit Hoo yang mewakili lelaki berusia 35 tahun itu memberitahu pihak media bahawa anak guamnya memohon menarik balik semakan kehakiman tersebut berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah pada 19 April lalu.

Menurut beliau, Mahkamah Tinggi Syariah melepas tanpa membebaskan anak guamnya ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan pada 25 Februari lalu yang membatalkan pertuduhan yang dihadapinya.

Panel sembilan hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengisytiharkan Seksyen 28 Enakmen Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang disandarkan bagi mendakwa lelaki itu, adalah tidak sah.

Mahkamah berpendapat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang mengenai perkara itu.

Lelaki berkenaan memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 20 November 2019 untuk mencabar keabsahan pertuduhan seks luar tabii yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi Syariah.

Lelaki itu didakwa pada 21 Ogos 2019 atas tuduhan cuba melakukan persetubuhan di luar tabii dengan lelaki lain di sebuah rumah di Bandar Baru Bangi pada 9 November 2018. – K!ONLINE