fbpx

Agong zahir ucapan tahniah kepada Dr. Adeeba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Adeeba dilantik sebagai Anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada pakar penyakit berjangkit negara, Prof. Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman atas pelantikan sebagai anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menurut kenyataan dikeluarkan Istana Negara di laman Facebook, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa suka cita dan bangga atas pelantikan beliau kerana majlis tersebut merupakan kumpulan penasihat peringkat tertinggi yang dianggotai sarjana terkemuka dunia.

Seri Paduka Baginda turut menyifatkan pelantikan Adeeba bukan sahaja pengiktirafan kepada beliau sebagai individu yang berprestasi tinggi, malah juga kepada Malaysia.

“Ia juga membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan individu yang berkualiti, berwibawa dan bertaraf antarabangsa.

“Semoga kejayaan beliau menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing,” titah Baginda di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan mengucapkan selamat maju jaya kepada Adeeba serta mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan dan terus mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Majlis Sains WHO bertindak sebagai suara kepemimpinan saintifik yang memberi saranan serta nasihat mengenai kemajuan dalam sains dan teknologi yang secara langsung dapat memberi kesan kepada kesihatan global.

Anggota majlis itu terdiri daripada pakar terkemuka di peringkat antarabangsa dengan rekod pencapaian dalam bidang masing-masing, serta mempunyai kefahaman yang diiktiraf mengenai kesihatan global.

Bepengalaman lebih 30 tahun dalam bidang perubatan, Adeeba juga memegang jawatan sebagai pengerusi Yayasan AIDS Malaysia dan ahli eksekutif Majlis AIDS Malaysia.

Beliau aktif di barisan hadapan dengan menjadi orang penting dan penggerak untuk kempen kesedaran penyakit HIV dan AIDS.

Adeeba juga mengasaskan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan AIDS yang menjalankan kajian pelbagai disiplin tentang HIV, dari segi klinikal, kesihatan awam dan dasar berkaitan.

Pada 2013 dan 2014, beliau telah diberi penghormatan dengan ditampilkan dalam jurnal The Lancet dan Science.

Tahun lalu, Adeeba mencipta sejarah dengan menjadi orang Asia pertama dilantik sebagai presiden Persatuan AIDS Antarabangsa.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI