fbpx
MOHD. SHAFRY (kiri) bersama Zainal Abidin (dua dari kiri) di UTM, Skudai, Johor Bahru hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!

UTM-Perodua perkasa penyelidikan teknologi EV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mengukuhkan peranannya sebagai peneraju inovasi apabila memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Perodua bagi memperkasa penyelidikan teknologi kenderaan elektrik (EV) tempatan di kampus UTM Skudai di sini hari ini.

Majlis pertukaran dokumen itu disempurnakan Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad sebagai simbolik kerjasama strategik antara akademia dan industri automotif negara.

Menurut Mohd Shafry, perjanjian tersebut melibatkan pelaksanaan penyelidikan bersama secara menyeluruh dengan memberi fokus kepada pembangunan teknologi EV tempatan.

Katanya, kerjasama antara UTM dan Perodua telah lama terjalin sekali gus membina keyakinan tinggi pihak industri untuk terus melabur dalam penyelidikan universiti termasuk penajaan makmal khas bagi pembangunan teknologi automotif.

“Fokus kita adalah untuk membangunkan teknologi EV tempatan bersama Perodua. Ia bermula dengan penukaran kenderaan enjin pembakaran dalaman kepada EV sebelum berkembang kepada penyelidikan bateri dan sistem kawalan pintar,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Tambah beliau, antara inovasi yang dibangunkan termasuk aplikasi kawalan kenderaan melalui telefon pintar, sekali gus membuktikan keupayaan penyelidik tempatan dalam menghasilkan teknologi mobiliti pintar.

Dalam masa sama, kerjasama itu dijangka memberi impak besar kepada pembangunan negara khususnya dalam sektor teknologi hijau, selaras dengan dasar kerajaan seperti Dasar Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu serta kerangka Ekonomi Madani.

Mengulas manfaat kepada pelajar, beliau berkata, kewujudan makmal tajaan industri di kampus membolehkan mahasiswa memperoleh pengalaman industri secara langsung melalui tugasan akademik berpandukan spesifikasi sebenar industri.

“Ini akan meningkatkan kebolehpasaran graduan selain membuka peluang pekerjaan apabila Perodua sendiri bersedia menyerap tenaga kerja mahir yang dilatih melalui ekosistem ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, UTM turut merancang memperluaskan penggunaan EV di dalam kampus termasuk pembelian kenderaan dan bas elektrik selain pembangunan stesen pengecas dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang bagi menyokong budaya mobiliti hijau dalam kalangan warga universiti.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN