fbpx

Orang Asli nikmati pembangunan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISMAIL SABRI (dua dari kiri, belakang) menyaksikan penyerahan jalan yang dinaik taraf kepada jurutera daerah di Bera Pahang.

BERA – Masyarakat Orang Asli tidak pernah dipinggirkan dalam pembangunan negara apabila pelbagai kemudahan infrasturuktur disediakan secara berterusan kepada mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

Ini dapat dilihat dengan usaha menaik taraf jalan di sebuah perkampungan Orang Asli dari Kampung Chuat ke sebuah kampung tradisional Melayu iaitu Kampung Bukit Imam Sulong di sini.

Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jalan sepanjang 4.1 kilometer bernilai kira-kira RM3 juta itu telah siap dibina pada 15 Disember lalu.

“Pembinaan jalan ini memberi manfaat kepada kira-kira 1,500 orang yang menggunakan jalan ini termasuklah penduduk Orang Asli Kampung Chuat dan kampung-kampung berhampiran termasuk kampung tradisional Melayu.

“Pembangunan infrastruktur di Kampung Orang Asli dilakukan berterusan yang menunjukkan kita tidak pernah lupa membangunkan kampung Orang Asli di daerah ini dan seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan projek menaik taraf jalan dari Kampung Chuat ke Kampung Bukit Imam Sulong di sini semalam.

Turut hadir Setiausaha Bahagian Prasarana Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Mohd. Fazli Mohd. Kenali; Pengarah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Pahang, Datuk Mohd A. Aruwan Ab. Aziz dan Jurutera Daerah, Ir. Mohd Faizarudin Mohd. Noor.

Penduduk kampung selesa menunggang motosikal melalui jalan baharu yang dinaik taraf.

Menurut Ismail Sabri, pembinaan jalan ini penting bagi menggantikan jalan lama yang sudah teruk sekali gus memberikan keselesaan kepada penduduk setempat melakukan aktiviti seharian.

Dalam pada itu, beliau berkata, selain jalan Kampung Chuat yang diluluskan ketika beliau menjadi Menteri Luar Bandar, dua lagi projek pembinaan jalan diluluskan di kampung Orang Asli di daerah ini iaitu di Kampung Serting Hilir dan Kampung Bongkok.

“Pada masa ini, jalan di Kampung Serting Hilir yang melibatkan peruntukan sebanyak RM5 juta telah siap manakala jalan di Kampung Bongkok yang juga bernilai RM5 juta dalam proses pembinaan.

Sementara itu, beliau berkata, pembangunan infrastruktur termasuklah jalan raya di daerah ini dilakukan secara berterusan termasuklah pembinaan jalan dari Triang ke Kem Tentera bernilai RM28 juta yang sedang giat dilakukan.

Beliau berkata, pihaknya juga memohon agar projek menaik taraf Jalan Temerloh Bera fasa satu sehingga ke Kerayong disambung kepada fasa seterusnya sehingga ke sempadan daerah Bera dan Negeri Sembilan.

Katanya, projek yang dianggarkan bernilai RM350 juta ini amat signifikan memandangkan laluan sepanjang 23 kilometer berkenaan merupakan laluan sibuk yang menjadi antara laluan utama ke beberapa negeri termasuk Negeri Sembilan dan Melaka.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI