fbpx
Keratan Kosmo! 10 Februari 2021

Sambut puasa di rumah baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH – Seorang wanita warga emas menarik nafas lega apabila dapat me­nyambut bulan puasa dan hari raya di rumah baharu di Kampung Chat Rimau di sini.

Sebelum ini, Sarah Jusoh, 63, menggunakan duit simpanannya sebanyak RM5,000 untuk membina rumahnya di atas tanah seluas kira-kira sembilan meter persegi tiga tahun lalu.

Simpati dengan nasib ibu kepada seorang anak itu, orang ramai dan penduduk kampung tersebut tampil menghulurkan sumbangan untuk membaik pulih kediaman tersebut dan siap seminggu lalu.

Menurut warga emas itu, dia berasa gembira dan berterima kasih kepada semua yang meng­hulurkan sumbangan sehingga dapat tinggal di dalam sebuah rumah yang selesa.

“Rumah saya sudah luas (selepas diubah suai). Rumah sekarang sudah ada ruang tamu, satu bilik tidur, tandas dan dapur.

“Masalah bekalan air dan elektrik juga selesai. Saya tak perlu guna pelita lagi pada waktu malam,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Sarah duduk di hadapan rumahnya yang siap dibina dan diubah suai di Kampung Chat Rimau, Tanah Merah.

Pada 10 Februari lalu, Kos­mo! melaporkan, Sarah menggunakan kesemua simpanannya yang dikumpul hasil menoreh getah untuk membina rumah sebesar bilik tidur.

Rumah itu dianggap seperti syurga buat Sarah walaupun tidak sempurna selain tiada bekalan air dan elektrik.

Warga emas itu sudah 30 tahun hidup sendirian selepas berpisah dengan suami. Dia mempunyai anak perempuannya berusia 42 tahun yang juga kesempitan wang.

Sementara itu, Penghulu mukim Banggol Jenereh, Wan Doti Nurzarina Wan Yahya berkata, kos membaik pulih rumah itu sebanyak RM14,000 dan pembinaannya dilakukan oleh Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah dan badan bukan kerajaan.

Sarah turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM500 sebulan sejak bulan lalu.