fbpx

Pengguna jalan raya berdepan risiko kehilangan nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan penyelamat mengangkat mayat mangsa tragedi struktur kren jatuh di Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini

PETALING JAYA – Pengguna jalan raya berdepan risiko kehilangan nyawa setiap kali melalui laluan di bawah projek pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, orang awam mulai takut dan fobia kerana dalam bulan ini sahaja, dua kemalangan berlaku.

“Sebagai pengguna, kita tidak tahu. Bila-bila masa sahaja kren, batu konkrit atau besi-besi pembinaan boleh menghempap mereka.

“Pada saya, semua pihak perlu duduk berbincang bagaimana untuk mengatasi masalah seperti ini dan memastikan orang awam selamat menggunakan jalan terbabit,” katanya kepada Kosmo!.

Lam Thye menyarankan kerajaan supaya mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) keselamatan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994.

“Kerajaan perlu memandang serius terhadap insiden seperti ini dan mengarahkan supaya semua aspek keselamatan melibatkan SOP dikaji semula,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), Datuk T. Mohan berkata, antara aspek yang perlu diberi perhatian dalam mengenal pasti punca kejadian tersebut adalah faktor operator atau pengendali kren.

“Banyak aspek perlu diperhatikan seperti faktor kondisi kren, keadaan semasa atau cuaca ketika pengendalian, prosedur kerja dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengasas Persatuan Mangsa Kemalangan Jalan Raya Malaysia, Azlan Sani Zawawi pula mempersoalkan bagaimana struktur kren tersebut tiba-tiba boleh terjatuh.

Katanya, peralatan itu kebiasaannya dipasang atau dikendali oleh pihak yang mahir.

“Perkara ini perlu diberi perhatian bagaimana kejadian itu boleh berlaku,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI