fbpx

Lesap RM15,000 angkara masuk web palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Seorang mekanik di Temerloh kerugian RM15,000 sejurus mengisi maklumat perbankan di laman web palsu dalam kejadian semalam.

Sebelum kejadian itu, lelaki berusia 22 tahun itu menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) yang memintanya mengemas kini akaun bank melalui pautan laman web yang dikirim kepadanya pada 16 Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, lelaki itu tidak mengendahkan SMS pertama tersebut.

“Bagaimanapun, mangsa menerima SMS yang sama buat kali kedua pada keesokannya dan telah mengetik pautan ke laman web tersebut.

“Pautan berkenaan memaparkan laman web sebuah bank dan meminta mangsa log masuk menggunakan kata laluan. Kemudian, terdapat mesej di laman web itu memaklumkan akaunnya telah diaktifkan,” ujar beliau menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Mohd. Wazir lagi, sesudah menerima mesej pengaktifan akaun itu, mangsa terus mendaftar keluar daripada laman tersebut tanpa mengesyaki apa-apa.

Bagaimanapun, katanya, mangsa mula menyedari kehilangan wang apabila memeriksa baki akaunnya secara dalam talian pada 20 Mac baru-baru ini.

“Terdapat tiga transaksi pindahan wang ke dalam akaun milik individu tidak dikenali dan mangsa terus menghubungi pihak bank sebelum dinasihatkan membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, di daerah yang sama juga semalam, seorang peniaga berusia 46 tahun kerugian RM700 selepas mengetik pautan ke laman web palsu yang sama.

Jelasnya, mangsa telah menerima SMS daripada nombor 68886 dan memintanya mengetik pautan yang diberikan serta mengisi maklumat akses kepada akaunnya.

“Kehilangan wang disedari mangsa apabila dia menyemak akaun di cawangan bank tersebut di Mentakab semalam,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI