fbpx

Mainj perlu ambil tindakan isu penggunaan kalimah Allah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Ibrahim menzahirkan perasaan dukacita apabila timbul kembali isu penggunaan kalimah Allah untuk digunakan pada tuhan yang lain daripada maksud yang sebenar. - Foto IHSAN ROYAL PRESS JOHOR

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah akan mengarahkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (Mainj) mengambil apa-apa tindakan yang perlu dan wajar bagi menyokong usaha rayuan dalam prosiding berhubung penggunaan kalimah Allah dalam kalangan orang bukan Islam.

“Nama ‘Allah’ ini diberi oleh diri-Nya, bukan berasal daripada mana-mana akar kata, tetapi kata nama khas yang merujuk kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa, Tuhan yang disembah oleh umat Islam.

“Firman Allah dalam surah Taha ayat 14 yang bermaksud: “Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati Daku,” titah Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Baginda turut menzahirkan perasaan dukacita apabila timbul kembali isu penggunaan kalimah Allah untuk digunakan pada tuhan yang lain daripada maksud yang sebenar.

“Saya merasa amat dukacita kerana perkara ini boleh menimbulkan perbalahan dan persepsi yang kurang elok terhadap keharmonian rakyat Johor yang hidup bermuafakat di dalam satu negeri.

“Adalah perlu sensitiviti umat Islam dan kesepakatan hidup berbilang kaum dan agama ini diambil kira dalam apa jua keputusan atau penghakiman kerana isu sensitif ini sangat dekat di hati saya selaku Ketua Agama Islam di Negeri Johor,” titah baginda.

Fatwa Negeri Johor yang telah diwartakan pada 4 Jun 2009 secara jelas menyatakan bahawa penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah tidak diharuskan, tidak dibenarkan, serta ditegah dan dilarang.

Fatwa ini bermaksud penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam yang tidak bertepatan dengan maksud yang sebenarnya sebagaimana ajaran agama Islam adalah sama sekali tidak boleh dan tidak dibenarkan.

Baginda turut menambah, di Johor terdapat Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam 1991 yang melarang penggunaan kalimah yang dikhususkan secara eksklusif untuk umat Islam dan tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam kecuali dalam keadaan-keadaan yang dibenarkan oleh perundangan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI