fbpx

‘Penthouse’ jadi pusat penipuan diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Zainal bertanyakan sesuatu kepada salah seorang individu yang ditahan dalam serbuan ke atas sebuah apartment mewah yang didapati menjalankan kegiatan penipuan secara online di Jalan Perak, Kuala Lumpur malam tadi.

PETALING JAYA – Tindakan licik satu sindiket penipuan pelaburan menyewa sebuah apartment mewah bagi menyukarkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa tidak berpanjangan apabila polis menyerbu sebuah premis di Jalan Perak, Kuala Lumpur malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, serbuan dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hasil risikan yang dilakukan selama dua hari.

“Serbuan Ops Dadu ini dilakukan kira-kira pukul 8 malam dan seramai 44 individu termasuk tujuh wanita yang dipercayai terbabit dalam sindiket perjudian serta penipuan pelaburan dalam talian melalui medium Forex telah ditahan.

“Kesemua suspek yang ditahan berusia di antara 17 hingga 41 tahun dan didapati berperanan sebagai operator di premis berkenaan yang dijadikan pusat khidmat pelanggan bagi mengumpan mangsa menyertai skim mereka,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Menurut Mohamad Zainal, pihaknya turut merampas sebanyak 22 komputer riba, 53 set komputer, 286 telefon bimbit pelbagai jenama, kad sim, dan kad akses yang disyaki digunakan untk menjalankan aktiviti tersebut.

“Siasatan awal mendapati sindiket menjadikan ‘penthouse’ ini yang disewa dengan kadar RM15,000 sebulan sebagai pusat operasi aktiviti penipuan yang menyasarkan pelanggan dari luar negara seperti Taiwan dan China menerusi aplikasi WeChat.

“Kesemua individu yang ditahan merupakan warga tempatan yang menetap di sekitar Kuala Lumpur dengan gaji kira-kira RM2,000 sebulan serta bekerja bermula 12 tengah hari hingga 10 malam dan difahamkan setiap individu mampu mendapatkan sekurang-kurangnya 10 hingga 60 mangsa sehari,” ujar beliau.

Jelasnya, sindiket berkenaan didapati telah aktif sejak Ogos lalu dan serbuan berkenaan adalah untuk kali yang kedua dilakukan di lokasi sama oleh pihak polis.

“Siasatan sedang dilakukan bagi mengenalpasti sama ada ini merupakan sindiket sama yang diserbu tahun lalu serta mengesan dalang yang bertanggungjawab.

“Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan mereka juga dikompaun RM1,000 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan,” tegas beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI