fbpx

Warga emas ditahan bersama 42 ketulan ganja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Taufik (dua dari kanan) bersama ketulan ganja yang dirampas dalam serbuan semalam.

SIK – Warga emas berusia 61 tahun antara dua lelaki yang ditahan bersama 42 ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Charuk Tenang di sini semalam.

Seorang lagi suspek yang ditahan merupakan warga Thailand berusia 31 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah, Asisten Komisioner Mohd. Taufik Maidin berkata, berdasarkan maklumat awam dan risikan, pasukan Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Sik dan Pendang membuat tangkapan kira-kira pukul 10.20 malam.

“Suspek warga tempatan yang bekerja sebagai pemandu lori dan penoreh getah itu ditahan ketika sedang berehat di dalam rumah suspek pertama,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sik di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan 42 ketulan mampat daun kering disyaki ganja dengan dua ketulan disimpan di dalam besen plastik berwarna biru yang ditutup dengan bekas tin.

“Sebanyak 40 ketulan lagi disembunyikan di dalam tong plastik berwarna biru yang disorokkan di dalam sebuah pondok bersebelahan rumah tersebut,” ujarnya.

Jelasnya, ganja seberat kira-kira 43 kilogram yang dianggarkan bernilai RM105,000 itu dipercayai untuk diedarkan di luar daerah ini dan Juru, Pulau Pinang.

“Aktiviti pengedaran ganja oleh suspek ini dipercayai aktif sejak setahun lalu dengan bekalan diperoleh dari negara jiran.

“Rumah suspek pertama dipercayai dijadikan sebagai transit bekalan dadah sebelum diedarkan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI