fbpx

KDN Kedah rampas buku panduan solat, muqadam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KDN dan JHEAIK merampas buku panduan solat, muqadam dan bingkai gambar ayat al-Quran dalam operasi bersepadu di Sungai Petani semalam.

SUNGAI PETANI – Sebanyak 2,672 buku panduan solat, muqadam dan bingkai gambar petikan surah dalam al-Quran bernilai RM25,276 yang didapati tidak mempunyai kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dirampas dalam operasi di sini semalam.

Rampasan dibuat dalam operasi bersepadu Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK) KDN di tiga lokasi berbeza membabitkan premis dan kios jualan bermula pukul 12 tengah hari hingga pukul 3 petang.

Pengarah KDN Kedah, Zaki Mohamed berkata, sebanyak 2,382 buku panduan sembahyang lelaki dan perempuan dirampas kerana mengandungi penulisan ayat al-Quran dan penulisan rumi bercanggah yang menjadi kesalahan mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012.

“Turut dirampas 235 muqadam Kaedah Baghdadiah dan sembilan Tafsir Al-Azhar selepas didapati tidak mendapat kelulusan KDN dan menyalahi Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata operasi itu turut disertai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) yang diketuai Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama negeri, Radzi Abdul Mutalib.

Ujarnya, lima bingkai petikan surah seribu dinar dan 31 bingkai ayat Kursi turut dirampas kerana terdapat kesilapan ayat yang menyalahi Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 (Pindaan) 2010.

“Penjual boleh dituduh mengikut Seksyen 9 (2) Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM20,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tambahnya, masyarakat diminta lebih peka dalam memilih bahan bacaan terutamanya yang berkaitan al-Quran.

“Semak terlebih dahulu dan pastikan ada kelulusan atau pengesahan yang sepatutnya daripada KDN.

“Malah semua pihak diminta supaya sentiasa bersama-sama memainkan peranan dalam mengawal sebarang penyelewengan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam khususnya dalam menjaga kesucian al-Quran itu sendiri,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI