fbpx
Bantuan anjing pengesan dari unit K9 IPK Johor digunakan untuk memastikan tiada mangsa terperangkap dalam runtuhan.

Bangunan usang jadi ‘port’ penagih runtuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Sebuah bangunan usang di tengah bandar raya ini yang dipercayai menjadi sarang penagih dadah runtuh membabitkan sebahagian daripada strukturnya dalam satu kejadian pada pukul 5.30 petang tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Taufiq Atan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 5.53 petang.

Menurut beliau, sehubungan itu seramai 13 anggota beserta empat jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, didapati sebuah bangunan usang yang telah ditinggalkan lebih daripada 10 tahun runtuh melibatkan sebahagian dindingnya.

“Siasatan yang dilakukan bagaimanapun tidak mendapati kejadian itu melibatkan mangsa” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini hari ini.

Tambah Muhammad Taufiq, bagi memastikan perkara itu, Unit K9 daripada Kontinjen Johor dipanggil untuk membantu siasatan.

“Punca kejadian masih dalam siasatan walaubagaimanapun kami percaya ia terjadi kerana struktur bangunan yang usang, selain projek bersebelahan yang mungkin turut menjadi faktor,” jelasnya.

Operasi itu ditamatkan kira-kira pada pukul 8 malam.

Sementara itu, salah seorang saksi kejadian, Pengurus Projek Sungai Segget, Rahmat Adenan, 34, memberitahu, ketika kejadian berlaku dia sedang berkemas untuk pulang selepas menamatkan kerja pada pukul 5 petang.

“Ketika kejadian, angin bertiup kencang sebelum kedengaran bunyi kuat yang datangnya daripada runtuhan bangunan usang bersebelahan tapak projek.

“Akibat runtuhan itu, debu berterbangan sehingga menutupi kawasan sekitar, situasi itu turut mengakibatkan kesesakan jalan raya di hadapan pusat beli belah City Square selama kira-kira 15 minit,” katanya.

Tambahnya yang telah bekerja di tapak itu sejak November 2019 lagi, bangunan usang berkenaan dipercayai menjadi ‘port’ penagih dadah dan gelandangan untuk bermalam.

“Bangunan ini memang diketahui didiami golongan gelandangan dan juga penagih, malahan kami pernah dimarahi mereka kerana menjalankan projek ini,” ujarnya. – K! ONLINE

BERITA BERKAITAN