PETALING JAYA – Beberapa tahun lalu, nama pelakon Raja Ilya pernah mencetuskan sensasi selepas dia didakwa menipu ditawarkan berlakon dalam naskhah Hollywood.
Semuanya gara-gara Raja Ilya atau nama lengkapnya Raja Ramilah Begum Raja Mohammad, 35, memberitahu dia terpaksa menolak tawaran tersebut kerana mendakwa tidak bersesuaian dengan dirinya.
Menerusi satu perkongsian video dalam Instagram, pelakon itu tampil membuat penjelasan tentang kontroversi tersebut demi menjernihkan namanya daripada terus dilabel sebagai pembohong.
Jelas pelakon yang kini menetap di Perth, Australia itu, dia menolak tawaran berlakon dalam sebuah karya terbitan platform Netflix kerana memerlukan dirinya tampil berbogel.
“Watak tersebut memerlukan saya berbogel dan duduk di dalam inkubator. Tawaran yang diberi sangat lumayan dan diterbitkan oleh syarikat produksi yang besar.
“Tetapi saya ada pendirian sendiri untuk tidak melakukannya. Orang Barat selalu beranggapan babak sebegitu sebagai satu seni. Tetapi saya tidak selesa untuk berbogel atau melakukan babak seksual. Sebab itu saya tolak,” ujarnya.
Pelakon yang berkahwin dengan seorang usahawan dari Australia, Trent Garret itu ditawarkan berlakon dalam naskhah berkenaan pada tahun 2018.
Pada tahun sama, dia juga pernah menghantar dua buah video uji bakat untuk filem Jurassic World dan Star Wars: The Rise of Skywalker tetapi gagal mendapat maklum balas.
Dalam perkongsian tersebut, pelakon filem KL Vampires itu mengakui sudah serik untuk terlalu terbuka berkongsi kepada umum tentang perkara yang belum tentu berlaku.
“Saya belajar daripada pengalaman lalu untuk diam dan tidak akan bercerita apa jua aktiviti uji bakat yang saya lakukan di sini.
“Sampai satu ketika nanti, mungkin semasa atau selepas penggambaran selesai, baru akan kongsi kepada peminat,” ujarnya.
Baru-baru ini, pelakon Nadia Brian juga mendedahkan dia menolak tawaran berbogel dan beraksi panas dalam drama 12 episod terbitan sebuah produksi Hollywood. – K! ONLINE