fbpx

Kilang kitar semula Telok Gong disita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEGAWAI JAS sedang melakukan proses sitaan ke atas peralatan memproses wayar tembaga di kilang kitar semula di Telok Gong, Pelabuhan Klang semalam.

KLANG – Sebuah kilang kitar semula wayar tembaga antara 24 buah kilang haram di Telok Gong, Pelabuhan Klang digempur Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dalam operasi selama dua hari bermula Selasa lalu.

Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 12 tengah hari itu, terdapat tiga pekerja berada kilang berkenaan termasuk seorang kakitangan di bahagian pentadbiran berusia 30-an.

Katanya, ketika serbuan, pihaknya mendapati premis berkenaan sedang menjalankan kerjakerja kitar semula selain proses pengasingan logam-logam berharga.

“Kawasan pemprosesan kilang itu didapati tidak teratur dan berhabuk. Malah, alat kawalan pencemaran udara yang dipasang pemilik kilang tidak beroperasi.

“Berdasarkan siasatan awal, kita dapati kilang yang diusahakan sebuah syarikat tempatan itu telah beroperasi sejak 2019,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mengesyaki premis tersebut memperoleh bekalan wayar tembaga itu daripada luar negara, namun pengimportan bahan utama itu dilakukan tanpa kelulusan JAS berdasarkan penemuan bahan bukti yang masih terdapat dalam kontena.

“Sebanyak 12 mesin pemprosesan telah dikenakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38 (1) (a) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 bagi menghentikan pencemaran dengan serta-merta.

“Kita turut menyita kilang berkenaan dan akan merakam percakapan pengarah syarikat yang merupakan warga tempatan,” jelasnya.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 34A, Akta dan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

Mengulas lanjut, Nor Aziah menjelaskan sebanyak 54 buah kilang telah digempur dengan dengan 24 daripadanya di Telok Gong, Pelabuhan Klang dalam operasi selama dua hari bermula Selasa lalu.

“Sejumlah 90 kompaun bernilai RM180,000 telah dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

“Selain itu, kertas siasatan bagi tujuan pendakwaan telah dibuka ke atas tiga buah premis melibatkan kilang kertas dan kilang pengilangan logam. Kita juga mengenal pasti Telok Gong merupakan antara lokasi panas bagi kilang-kilang haram khususnya di Klang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI