fbpx

Lima ahli Geng Mimi Vape ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shariman (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian barang curi yang dirampas selepas menahan lima lelaki disyaki ahli Geng Mimi Vape pada Rabu lalu dan semalam.

LANGKAWI – Lima lelaki disyaki ahli Geng Mimi Vape yang terlibat dalam lapan kes pecah rumah dan premis di pulau peranginan ini sejak Jun tahun lalu berjaya ditahan dalam dua serbuan berasingan di Kampung Buluh Penyumpit di sini pada Rabu lalu dan semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, tangkapan pertama melibatkan dua suspek di sebuah rumah separuh siap di Kampung Buluh Penyumpit kira-kira pukul 7 pagi, Rabu lalu.

“Kedua-dua penganggur yang berusia 32 dan 39 tahun itu masing-masing mempunyai satu rekod lampau kes samun dan dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi di sini hari ini.

Kata beliau, susulan tangkapan pertama, pihaknya menahan tiga lagi suspek di sebuah rumah lain di kampung sama kira-kira pukul 1.30 tengah hari, semalam.

“Kita menahan seorang suspek berusia 32 tahun yang bekerja sebagai pembaiki telefon bimbit dan rokok elektronik yang mana semakan mendapati dia mempunyai satu rekod lampau dadah.

“Sementara suspek kedua berusia 35 tahun yang tidak bekerja pula mempunyai lima rekod lampau dadah manakala suspek ketiga berusia 25 tahun yang merupakan pembantu kedai makan mempunyai satu rekod lampau dadah,” ujarnya.

Menurut Shariman, antara barang curi yang ditemui adalah tiga unit komputer riba, satu tong gas memasak, perkakas pertukangan dan mesin pemotong rumput.

“Kita turut merampas dadah disyaki syabu dengan berat anggaran 11 gram (g),” katanya.

Ujar beliau, modus operandi kumpulan itu adalah dengan mematikan suis utama premis bagi mengelak dikesan televisyen litar tertutup serta memakai topi keledar berpenutup penuh.

“Mereka dipercayai melakukan kegiatan ini bagi mendapatkan bekalan dadah dengan melakukan sistem barter dengan tokan dadah,” katanya.

Tambahnya, kesemua suspek yang positif dadah jenis methamphetamine direman untuk siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI