fbpx
Bekas pemain boling negara ini kini menumpukan kepada kerjaya dalam bidang pengacaraan dan bakal bergelar pelakon.- Foto MUHAMAD IQBAL ROSLI

Dunia baharu Syaidatul Afifah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

UNGKAPAN peribahasa ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi sebenarnya sangat bertepatan dengan bekas pemain tenpin boling negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, 30, yang mewarisi minat serta bakat dalam sukan tersebut daripada bapanya, Badrul Hamidi Gam, 61 tahun.

Seawal usia sembilan tahun, Syaidatul Afifah telah didedahkan dalam sukan itu oleh bapanya yang merupakan pemain boling untuk sebuah syarikat perhotelan.

Badrul Hamidi yang ketika itu bertugas sebagai pengurus hotel di Ipoh, Perak bergiat aktif menyertai pelbagai kejohanan boling dan sering membawa anak perempuannya itu ketika membuat latihan.

Menurut Syaidatul Afifah, dia sering mengikuti bapanya berlatih bermain boling sambil menyiapkan kerja sekolah.

“Oleh kerana kerap menyaksikan ayah bermain boling, lantas terdetik dalam hati untuk mencubanya kerana ia kelihatan menyeronokkan.

“Bermula dari situ sudah timbul minat dan jatuh cinta dengan sukan boling,” ceritanya kepada K2 ketika diminta mengenang memori penglibatannya dalam sukan boling.

Syaidatul Afifah pada September lalu mengejutkan arena sukan apabila mengumumkan persaraan selepas 11 tahun mewakili negara. Bekas juara acara berpasukan wanita Kejohanan Dunia 2017 secara rasmi mengumumkan persaraannya pada satu sidang akhbar.

GAYA Syaidatul Afifah semasa membuat balingan boling.

Bercerita lanjut tentang sukan boling, perjalanannya dalam dunia boling bermula apabila gurunya membuka peluang untuk para pelajar mewakili sekolah dalam kejohanan sukan tersebut.

Tanpa berlengah dia menawarkan diri untuk menyertai kejohanan boling Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia yang diadakan di Negeri Sembilan bagi mewakili Sekolah Kebangsaan Sungai Rokam, Ipoh pada ketika itu.

Pengalaman pertama menyertai kejohanan boling sangat mengecewakan dirinya sehingga dia berazam untuk membetulkan teknik dan menjadi pemain terbaik.

Badrul Hamidi tidak membiarkan Syaidatul Afifah berseorangan dalam perjuangan tersebut dan yakin dengan potensi dimiliki anak gadisnya lalu melantik seorang jurulatih yang merupakan pemain boling Malaysia, Ismail Yahya.

“Saya banyak belajar teknik asas boling melalui latihan intensif bersama Ismail Yahya sehingga mahir serta bersedia untuk bertanding.

“Selepas itu, saya menyertai kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun 2006 di Kedah dan memenangi pingat emas kategori individu dan trio,” tuturnya yang aktif dalam pelbagai jenis sukan sejak di bangku sekolah rendah.

Bermula dari situ, bakatnya terserlah dan aktif mengikuti kejohanan boling bagi mewakili sekolah, daerah dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia.

Pada masa yang sama, Syaidatul Afifah sangat menyukai sukan bola jaring dan aktif mengikuti pelbagai kejohanan.

Bagi memastikan dia tidak tercicir pelajaran kerana terlalu aktif dalam sukan, maka bapanya meminta Syaidatul Afifah untuk memberi fokus kepada satu sukan sahaja.

“Minat saya pada ketika itu memang lebih kepada bola jaring tetapi atas nasihat ayah dia mencadangkan agar memilih boling. Berkat restu daripada ayah, saya merangkul satu persatu kejayaan dalam kejohanan boling dan ketika berusia 15 tahun tahun menerima tawaran untuk dilantik sebagai pemain pelapis kebangsaan,” ulas pemegang Diploma Pelancongan dari SEGi University & Colleges, Kota Damansara, Selangor itu.

Pun begitu, dia terpaksa menolak tawaran tersebut kerana ibu bapanya menasihatkan agar menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terlebih dahulu, apatah lagi terpaksa berjauhan dengan keluarga dan perlu berpindah ke Kuala Lumpur.

Setelah tamat SPM, barulah dia menerima tawaran untuk menjadi pemain pelapis kebangsaan dan melalui rutin latihan di Majlis Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

SYAIDATUL AFIFAH (kiri) bersama skuad boling wanita kebangsaan dan jurulatihnya.

“Ketika menjadi pemain pelapis kebangsaan, saya memenangi kejohanan Terbuka Taiwan, Terbuka Singapura dan Penang Pesta International Bowling yang mana ketiga-tiga dimenangi pada tahun yang sama.

“Pada tahun 2012, saya diserap masuk dalam pasukan senior,” ujar wanita berketinggian 169 sentimeter itu.

Antara pencapaian tertinggi yang pernah dirangkulnya adalah juara berpasukan wanita Kejohanan Dunia 2017 di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS); memenangi pingat emas berpasangan wanita Kejohanan Asia 2015 di Bangkok, Thailand; memenangi pingat emas trio wanita di Sukan Asia 2018 di Palembang, Indonesia dan memenangi dua pingat emas dan dua gangsa di Sukan SEA 2015, Singapura.

Berbicara mengenai pengalaman yang tidak boleh dilupakan sepanjang 11 tahun bergelar atlet tenpin boling kebangsaan, Syaidatul Afifah memberitahu, dapat bergandingan dengan idolanya, Shalin Zulkifli adalah sesuatu yang sangat membanggakannya.

“Sejak kecil saya menonton Kak Shalin di televisyen bermain boling dan tidak terlintas di fikiran yang suatu hari nanti akan dapat bergandingan dengannya untuk bersama-sama mengharumkan nama negara.

“Selain itu, memenangi Kejohanan Boling Dunia 2017 di Las Vegas adalah kenangan termanis apatah lagi tempat tersebut adalah lokasi yang paling saya teringin pergi,” tuturnya.

Dia turut menitipkan beberapa tip untuk berjaya iaitu penting untuk mendapatkan restu dan sokongan ibu bapa, lakukan sesuatu kerana minat serta menjaga disiplin.

Mengulas lanjut mengenai keputusan persaraannya daripada skuad kebangsaan pada tahun lalu ketika berada di puncak, Syaidatul Afifah berkata, sudah tiba masanya dia mengundurkan diri dan memberi fokus sepenuhnya kepada keluarga serta mencuba perkara-perkara baharu.

“Sepanjang bergelar atlet saya banyak terikat dengan jadual latihan dan kejohanan sehingga masa bersama keluarga agak terhad.

Saya pernah beberapa kali tidak dapat menyambut perayaan dengan keluarga kerana perlu mengikuti kejohanan di AS. Lebih menyedihkan tidak dapat menghadiri perkahwinan kakak atas alasan sama,” ulasnya yang kini bergelar pengacara di Astro Arena.

Akuinya, dia meminati bidang pengacaraan sejak kecil, namun sebelum ini tidak pernah berkesempatan mengacara.

Kini, tiada lagi rutin latihan boling dalam hidupnya seperti sebelum ini sebaliknya mengasah kemahirannya dalam pengacaraan termasuk menjalani latihan vokal penyampaian.

WANITA ini kini menjadi salah seorang pengacara di saluran Astro Arena.- Instagram Syaidatul Afifah

“Selama ini saya memang minat dengan bidang pengacaraan terutamanya semasa menonton hos mengendalikan rancangan televisyen seperti American Idol. Sebelum ini, kalau hendak berlatih mengacara pun hanya di depan cermin.

“Sekarang apabila bergelar pengacara, saya perlu menambah pengetahuan tentang pelbagai jenis sukan dan mengenali pemain-pemain. Ia bukanlah satu masalah kerana saya memang seorang yang mengikuti perkembangan sukan-sukan lain sejak dahulu lagi,” ujarnya.

Syaidatul Afifah juga sebenarnya bukan asing dalam bidang peragaan apabila dirinya merupakan duta Puma sejak tahun 2018.

DIA juga berbakat dalam peragaan apabila dia menjadi duta Puma sejak tahun 2018.- Instagram Syaidatul Afifah

Dalam perkembangan terbaharu, wanita ini menyatakan dirinya kini sedang berjinak-jinak dalam bidang lakonan.

“Baru tiga minggu lalu, saya telah ditawarkan berlakon dalam sebuah drama dan saya menerima tawaran itu. Penggambaran belum dijalankan dan buat masa ini saya meluang masa menelaah skrip. Saya menerima tawaran berlakon ini kerana dramanya mempunyai kaitan dengan sukan,” ujarnya.

Biarpun sudah meninggalkan boling, namun tersimpan dalam sanubari Syaidatul Afifah untuk membuka akademi boling bagi remaja selain bergelar jurulatih.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN