SHAH ALAM – Pengecualian duti hiburan diberikan bagi bayaran masuk ke taman tema di Selangor berkuatkuasa 18 Mac tahun lalu sehingga 31 Disember tahun ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini berikutan penularan Covid-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terhadap pendapatan pengusaha taman tema sehingga premis itu terpaksa ditutup dan tidak dapat beroperasi sepenuhnya.
Menurut beliau, pelaksanaan tersebut akan memberi anggaran impak kewangan sebanyak RM26.35 juta kepada Kerajaan Negeri.
“Pengusaha taman tema merupakan salah satu pemain utama dalam merancakkan industri pelancongan di Negeri Selangor.
“Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk mengurangkan kadar duti itu daripada 25 peratus kepada 5 peratus bagi setiap bayaran masuk di taman tema selama lima tahun berkuat kuasa 1 Januari 2022 yang memberikan implkasi kehilangan hasil sebanyak RM21.04 juta setahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. -K! ONLINE