fbpx

Impian Olimpik Nauraj tidak pernah padam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAURAJ mahu terus meraih peluang untuk memburu tempat ke pentas Olimpik.

KEPUTUSAN jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa berkelana ke bumi Eropah dengan menjadikan Jerman sebagai pusat latihan baharu membawa petanda positif dalam usaha layak ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun pada Julai depan.

Nauraj, 29, berhijrah secara tetap ke Jerman selepas berkahwin dengan wanita pilihan dari negara itu, Irina Kuhltau di Leipzig pada 16 Oktober lalu, sekali gus memudahkan dia menyertai banyak kejohanan berprestasi tinggi di sekitar Eropah.

Ia menuai hasil lumayan apabila Nauraj berjaya mencipta rekod kebangsaan baharu acara lompat tinggi dalam dewan dengan ketinggian 2.20 meter (m) ketika meraih tempat kedua pada Kejohanan Track and Field Vienna di Austria awal pagi semalam.

Kejayaan itu menyaksikan Nauraj yang pernah memena­ngi tiga pingat emas Sukan SEA, memadam rekod dalam dewan sebelum ini iaitu 2.19m yang dilakukannya pada Kejohanan Erdgas Indoor Athletics di Chemnitz, Jerman dua tahun lalu.

Kecemerlangan itu menye­marakkan semangat Nauraj untuk memburu peluang kali ke­dua beraksi di pentas Olimpik selepas membuat penampilan pertama sewaktu edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

“Tahun ini banyak kejohanan besar jika berjalan mengikut perancangan dan sudah tentu saya akan berusaha untuk la­yak ke Olimpik Tokyo,” katanya.

Bagaimanapun, Nauraj perlu melepasi had kelayakan ditetapkan iaitu 2.33m jika mahu layak secara merit ke Sukan Olimpik Tokyo.

Jika berjaya, atlet kelahiran Johor itu secara tidak langsung akan memadam rekod kebangsaan dengan catatan 2.30m yang dilakukannya dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Si­ngapura di Kallang pada 2017.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI