fbpx

11 kilang buat cemar bakal disita MPK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kilang memproses tayar terpakai yang disyaki terlibat dalam pencemaran parit di Kampung Baru Telok Gong, Klang yang telah dikenakan tindakan notis perobohan.

KLANG – Sebanyak 11 buah kilang yang disyaki terlibat dalam pencemaran parit atau alur di Kampung Baru Telok Gong akan disita sebelum tindakan susulan termasuk perobohan dilakukan pihak berkuasa.

Timbalan Pengarah Penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) Shahrul Hazri Abd. Majid berkata, setakat ini hanya sebuah kilang memproses tayar terpakai dikeluarkan notis perobohan struktur binaan mengikut Seksyen 70 (1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

“Hasil pemeriksaan terhadap kilang itu mendapati terdapat permohonan Kilang Tanpa Kebenaran (KTK) daripada kilang itu.

“Bagaimanapun ditangguhkan buat sementara waktu sehingga siasatan aduan diselesaikan pihaknya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Kata beliau, semakan akan dilakukan terhadap kilang-kilang lain berhubung sama ada mempunyai lesen sementara KTK atau tidak termasuk status tanah di kawasan berkenaan.

Kosmo! hari ini melaporkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mendedahkan sebanyak 11 buah kilang disyaki menjadi penyebab utama pencemaran parit atau alur air di Kampung Baru Telok Gong, Pelabuhan Klang di sini yang tular sejak Sabtu lalu.

Kilang-kilang itu dikenal pasti sebagai punca pencemaran selepas hasil pemeriksaan selama lima jam bermula pukul 10 pagi dalam Ops Gempur pada Rabu lalu terhadap premis-premis dalam radius tiga hingga lima kilometer sepanjang alur air tersebut.

Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, siasatan mendapati terdapat 13 buah kilang dengan dua daripadanya tidak beroperasi semasa serbuan dilakukan.

“Kilang-kilang yang beroperasi adalah melibatkan lapan buah kilang kitar semula plastik, kilang pirolisis tayar terpakai (dua) dan satu kilang berkaitan pembuatan dakwat,” jelasnya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI