fbpx

Proton, Perodua dijangka teruskan penguasaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Proton dijangka akan melancarkan model Iriz dan Persona baharu tahun ini. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Syarikat automotif nasional, Proton dan Perodua diunjurkan mampu meningkatkan penguasaan mereka di pasaran automotif domestik tahun ini, menurut laman automotif
WapCar.

Katanya, pertumbuhan bakal disokong oleh pengenalan model terkini, dengan Proton dijangka akan melancarkan dua model yang ditambah baik iaitu Proton Iriz dan Proton Persona baharu,
manakala Perodua juga bakal melancarkan dua model baharu tahun ini, termasuk sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak yang dikenali dengan kod nama D55L.

“Kedua-dua jenama tempatan ini menguasai hampir 60 peratus daripada pasaran tempatan, tiada alasan untuk mempercayai mereka akan kehilangan pegangan pasaran pada tahun 2021.

“Bagaimanapun, jenama luar terutamanya dari Jepun termasuk Honda, Toyota, Nissan serta Mazda dijangka dapat mengekalkan momentum jualan dibantu pelancaran baharu model Honda City, Nissan Almera, Mitsubishi Xpander dan Toyota Vios,” katanya dalam siaran akhbar yang dikeluarkan semalam berhubung unjuran industri automotif tahun ini.

Menurut WapCar, industri automotif diramalkan terus berdepan suasana mencabar tahun ini, dengan firma penyelidikan, RHB Research mengunjurkan jumlah keseluruhan jualan industri (TIV) sebanyak 580,000 unit, jauh di belakang prestasi direkodkan sebelum pandemik pada 2019 iaitu sebanyak 604,287 unit.

Ia bagaimanapun masih lebih baik berbanding prestasi tahun 2020, yang dianggarkan berjumlah sekitar 500,000 unit.

“Pemulihan terutamanya berpunca daripada lanjutan pengecualian cukai jualan untuk kenderaan penumpang pemasangan tempatan (CKD) dan yang diimport sepenuhnya (CBU) kepada 30 Jun 2021, namun selepas itu jualan dijangka merosot.

“Pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan di hampir seluruh negara turut merumitkan keadaan. Ketidaktentuan yang tinggi menyebabkan sukar untuk membuat ramalan yang cukup kuat,” katanya.

Mengulas lanjut berhubung trend pasaran tahun ini, WapCar menjelaskan, berdasarkan aktiviti 11 juta pengguna yang mengunjungi laman webnya pada 2020, kereta berharga bawah RM100,000 adalah paling popular, manakala Proton dan Perodua merupakan dua jenama paling banyak dicari.

“Populariti SUV segmen B dijangka terus meningkat dan ini memberi impak kepada kenderaan pelbagai guna (MPV) segmen B yang menyaksikan aktiviti sangat sedikit tahun lalu.

“Meskipun kenderaan sedan segmen B turut menerima tempiasnya, model seperti Proton Persona, Toyota Vios dan Honda City dijangka tetap menjadi model utama bagi pengeluar masing-
masing,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI