fbpx

Geng Upahan, orang media jadi pemuzik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GENG UPAHAN

SEDAR atau tidak, ramai yang terkesan dengan pandemik maut Covid-19 yang mula melanda dunia termasuk Malaysia sejak setahun lalu. Bahkan ketika ini, penularan wabak pembunuh berkenaan masih ‘berkuasa’ dalam komuniti kita dengan catatan angka kes harian semakin meningkat saban hari.

Kesukaran untuk meneruskan survival hidup bukan sahaja dirasai mereka yang terlibat contohnya dalam sektor pelancongan dan penerbangan, malahan pemain industri media juga dilihat tidak terkecuali sehingga turut sama terkesan.

DAEI NAN AZMIE kini fokus sebagai komposer selepas berkecimpung selama 15 tahun dalam dunia kewartawanan.

Pada saat majoriti bekas warga media yang lain memilih untuk memulakan bisnes kecil-kecilan bagi meneruskan survival kehidupan selepas kehilangan pekerjaan, lain pula ceritanya dengan Daei Nan Azmie dan beberapa rakan media lain yang menggelarkan diri mereka sebagai Geng Upahan apabila memilih 100 peratus mendambakan diri berkarya dengan muzik.

Mereka bukan saja menjadikan seni muzik sebagai survival kehidupan, bahkan turut terlibat dalam penghasilan gubahan lagu termasuk penggambaran video muzik bakat-bakat baharu. Sekali gus membina jenama masing-masing di studio muzik Sarang Suara Studio milik salah seorang anggota Geng Upahan, Tuan Qayyum yang berlokasi di Seri Kembangan, Selangor.

Daei atau nama sebenarnya Nan Hidayat Nan Azmie berkata, pengalaman mereka selama lebih 15 tahun sebagai wartawan dan jurufoto sebelum ini cuba dimanfaatkan sebaik mungkin biarpun kini tidak lagi terlibat secara langsung sebagai pengamal media.

Belum kalah

“Kalau nak tahu, ada dalam kalangan rakan media kami yang sebelum ini kehilangan mata pencarian kini bekerja sebagai tukang kayu. Tidak kurang juga ada yang berniaga burger serta pewangi kereta demi meneruskan kehidupan.

“Kami sedar bukan mudah untuk menjadikan muzik sebagai punca pendapatan tetap, tetapi apa salahnya mencuba kerana kami percaya dengan bakat seni berbeza yang dimiliki Geng Upahan di sebalik kerjaya kami sebagai wartawan dan jurufoto sebelum ini.

“Sekurang-kurangnya, ini membuktikan bahawa kami tidak akan mudah mengibarkan bendera putih biarpun kehilangan kerjaya. Tambahan pula, kami mendapat sokongan penuh daripada keluarga dan rakan terdekat,” ujarnya.

Daei memberitahu, platform yang disediakan Sarang Suara Studio juga mampu membantu bakat-bakat baharu mengetengahkan muzik masing-masing demi menarik perhatian khalayak, sekali gus lebih dikenali serta merancakkan lagi industri muzik tanah air.

Kehilangan mata pencarian sebagai pengamal media dijadikan pembakar semangat buat Daei dan Geng Upahan untuk berkarya dalam bidang seni muzik.

“Selain proses rakaman dan gubahan lagu, kami juga menyediakan perkhidmatan pembikinan video muzik.

“Kami juga membantu aspek promosi untuk artis baharu menerusi pendekatan konvensional dan digital sebelum mereka dilamar mana-mana syarikat rakaman,” jelasnya.

Tambah Daie, perit jerihnya bersama Geng Upahan mula membuahkan hasil apabila single terbaharu berjudul Berkongsi Langit mula mendapat perhatian dalam YouTube selepas dikongsikan beberapa halaman viral baru-baru ini.

“Sebelum ini dua lagu kami iaitu Lebih Disayang Tuhan dan Tiada Lagu Lagi pernah diterima baik audiens dalam media sosial.

“Alhamdulillah, kami bersyukur dengan sambutan positif pendengar biarpun Geng Upahan masih dianggap hijau dalam industri muzik tanah air.

“Sebenarnya, semua lagu kami pada mulanya hanya disifatkan sebagai portfolio untuk pelanggan berpotensi Sarang Suara Studio. Tidak sangka pula karya ini mendapat respons yang memberangsangkan dalam media sosial,” ujarnya teruja.

Bagi yang ingin mengetahui perkembangan terkini mereka bolehlah mengikuti Instagram masing-masing iaitu @daei.azmie, @gengupahan dan @sarangsuara, atau boleh mendengar dan berkongsi material nukilan mereka dalam platform YouTube, Daei Nan Azmie dan Sarang Suara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI