fbpx

Sabah lantik dua wanita sebagai Peguam Besar negeri, Datuk Bandar Kota Kinabalu baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hajiji (tiga dari kanan) menyerahkan watikah pelantikan Peguam Besar Negeri kepada Nor Asiah (empat dari kanan) ketika Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Peguam Besar Sabah dan Datuk Bandar Kota Kinabalu baharu di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) hari ini. - Foto IHSAN JKM

KOTA KINABALU – Sabah mencatat sejarah tersendiri dengan pelantikan dua wanita bagi menerajui Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Dua wanita berkenaan adalah Timbalan Peguam Besar Sabah, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof yang kini dilantik sebagai Peguam Besar Sabah baharu manakala Ketua Pengarah DBKK, Noorliza Awang Alip dilantik sebagai Datuk Bandar Kota Kinabalu baharu berkuatkuasa Januari tahun depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd. Noor berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi peluang kepada wanita untuk menerajui jawatan penting di Sabah.

“Hal ini membuktikan peranan dan kepemimpinan wanita terus mendapat pengiktirafan serta penghormatan daripada kerajaan Sabah.

“Pelantikan ini juga antara usaha kita untuk memastikan penyertaan wanita terutama pegawai yang memiliki pengalaman luas dalam jabatan atau organisasi masing-masing diberikan keutamaan sewajarnya di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Peguam Besar Sabah dan Datuk Bandar Kota Kinabalu baharu di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) hari ini.

Turut hadir Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Sr. Safar Untong dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri, Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai.

Hajiji berharap menerusi pelantikan terbabit, semua jabatan atau organisasi yang diketuai akan lebih cemerlang serta berdaya saing dan maju sejajar dengan slogan Sabah Maju Jaya.

Sementara itu, Noorliza yang menjadi wanita pertama sebagai Datuk Bandar Kota Kinabalu menyifatkan pelantikkannya itu sebagai satu penghargaan daripada kerajaan negeri ke atas kepemimpinan wanita di negeri terbabit.

“Pelantikan ini membuktikan kerajaan negeri menghargai wanita dan turut diberi peluang dalam menerajui jawatan penting kerajaan.

Pengiktirafan ini juga sudah pasti akan menjadi pemangkin dan meningkatkan semangat dalam kalangan wanita di negeri ini,” katanya  yang memulakan tugas di Majlis Perbandaran Kota Kinabalu (MPKK) sebagai Penolong Setiausaha MPKK pada 1996.

Dalam pada itu, Nor Asiah yang memulakan kerjaya dalam bidang perundangan sejak 1995 mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri atas pelantikannya selaku Peguam Besar Sabah baharu.

“Terima kasih atas kepercayaan ini untuk saya menerajui jabatan ini (Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah. Banyak yang perlu dilaksanakan di jabatan ini termasuklah mengemaskini dan menyemak semula beberapa undang-undang sedia ada seperti undang-undang hak milik strata,” katanya yang sebelum ini dilantik sebagai Timbalan Peguam Besar Sabah pada 2018.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI