fbpx

Empat suspek eksploitasi pekerja warga asing dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Huzir

PETALING JAYA – Seramai 35 wanita warga asing terpaksa hidup bagaikan di dalam penjara selepas dikurung dalam rumah dan pergerakan dikawal oleh majikan termasuk bekerja tanpa gaji sejak dua tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kesemua wanita berkenaan bagaimanapun berjaya diselamatkan menerusi lima serbuan berasingan di daerah Melaka Tengah, Melaka dan Selangor pada 12 November lalu.

“Serbuan dilakukan oleh sepasukan polis dari bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (D3), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama-sama JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Melaka.

“Dalam serbuan di Melaka, pihak polis berjaya menyelamatkan 32 wanita warga Indonesia dan seorang warga Kemboja manakala dua lagi wanita warga Indonesia telah diselamatkan di Petaling Jaya, Selangor,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Huzir, kesemua mangsa berusia 18 hingga 40 tahun itu mengaku bekerja sebagai tukang cuci di sebuah agensi perkhidmatan pembersihan yang menjalankan perkhidmatan cucian dari rumah ke rumah di sekitar Melaka.

“Kesemua mangsa juga mengaku telah bekerja dengan agensi berkenaan sejak 2018 dengan gaji RM900 hingga RM1,200 sebulan namun mendakwa tidak mendapat gaji seperti yang dijanjikan malah telah dikurung di dalam rumah dan pergerakan mereka turut dikawal selain tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit.

“Semasa serbuan dijalankan, tiga wanita warga tempatan berusia 33 hingga 42 tahun yang dipercayai majikan kepada mangsa dan seorang rakan subahat iaitu lelaki tempatan berusia 40-an turut berjaya ditangkap bagi membantu siasatan,” jelas beliau.

Huzir berkata, kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 16 Disember lalu dan Timbalan Pendakwa Raya telah bersetuju menuduh keempat-empat suspek tersebut.

“Tiga wanita tempatan itu akan dituduh dengan 35 pertuduhan di bawah Seksyen 12 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan denda.

“Lelaki tempatan itu pula akan dituduh di bawah Seksyen 12 ATIPSOM 2007 dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan menjadikan keseluruhan pertuduhan sebanyak 70 pertuduhan ke atas keempat-empat mereka,” ujar beliau.

Tambah Huzir, kesemua mangsa yang diselamatkan kini ditempatkan di rumah perlindungan sementara dan pertuduhan ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Sesyen Melaka Tengah, Melaka esok. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI