fbpx

Penjenayah undur kereta langgar polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SEBERANG PERAI – Polis terpaksa melepaskan lapan das tembakan ke atas sebuah kereta dipandu penjenayah yang cuba melarikan diri secara agresif ketika pemeriksaan di Taman Gamelan Indah di Sungai Bakap, Nibong Tebal di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 malam itu, seorang anggota polis cedera selepas dilanggar oleh suspek yang mengundurkan kereta jenis Proton Perdana untuk meloloskan diri.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, sebelum itu polis melakukan pemeriksaan ke atas dua lelaki berusia 36 dan 43 tahun selepas menahan kereta berwarna putih itu yang dilihat mencurigakan.

“Namun, suspek berusia 43 tahun secara tiba-tiba meluru masuk ke dalam kereta untuk melarikan diri.

“Dia telah mengundurkan kereta dengan laju dan melanggar seorang anggota polis sehingga menyebabkan kecederaan pada siku, jari tangan kiri dan sakit pada belakang badan selain motosikalnya mengalami kerosakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurutnya, polis telah melepaskan lapan das tembakan ke arah kereta suspek bagi mempertahankan diri, namun dia berjaya melarikan diri dengan kereta.

“Ketika dikejar dengan kereta peronda polis, dia telah melanggar belakang sebuah kereta jenis Proton Wira sebelum terbabas di Jalan Sungai Kechil, Nibong Tebal.

“Suspek berjaya ditangkap dan polis turut menemui sepaket dadah jenis syabu di lokasi kejadian dipercayai telah dibuang oleh suspek,” katanya lagi.

Chong Chern berkata, siasatan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah dan sembilan rekod berkaitan kes dadah, manakala seorang lagi suspek yang ditinggalkan di tempat pemeriksaan tiada rekod jenayah.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI