fbpx

Aktiviti pelancongan dan sukan ‘outdoor’ dibenarkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kerajaan bersetuju secara dasar cadangan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berhubung pembukaan aktiviti pelancongan khususnya di tempat terbuka.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun, MOTAC telah diminta untuk membentangkan prosedur standard operasi (SOP) terperinci setelah berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Perkara sama turut diajukan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) semalam yang telah membentangkan kepada Sidang Khas MKN berhubung cadangan untuk pembukaan aktiviti sukan terutamanya melibatkan sukan outdoor.

“Susulan itu, KBS juga telah diminta untuk membentangkan SOP terperinci setelah berbincang dengan KKM dan MKN,” katanya dalam sidang akhbar di Facebook Live hari ini.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, seramai 693 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa negara semalam dan kesemuanya telah dikuarantin wajib di stesen kuarantin seluruh negara.

“Seperti yang diumumkan oleh KKM, kerajaan telah bersetuju untuk memendekkan tempoh kuarantin wajib bagi pengembara yang pulang dari luar negara serta kontak rapat kepada kes positif Covid-19, daripada 14 hari kepada 10 hari bermula semalam.

“Mengikut KKM, semakan bukti saintifik klinikal terkini mendapati bahawa risiko jangkitan pasca-kuarantin akan berkurangan mengikut tempoh masa kuarantin. Kadar keboleh jangkitan adalah tertinggi pada minggu pertama selepas pendedahan,” jelasnya.

Bagaimanapun katanya, bagi pengembara yang ingin pulang ke Malaysia, mereka perlu melakukan ujian calitan dalam tempoh tiga hari sebelum berlepas pulang, dan selepas tiba di Malaysia, mereka akan dikuarantin selama tujuh hari.

“Namun, jika pengembara tidak dapat melakukan ujian calitan sebelum berlepas pulang, mereka perlu menjalani ujian calitan sejurus tiba di Malaysia dan jika didapati negatif, mereka perlu menjalani kuarantin wajib maksima 10 hari,” tambahnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI