BANDAR RAYA MEXICO – Majikan yang beroperasi di kawasan terjejas akibat pandemik Covid-19 di Mexico perlu membayar kos internet dan bil elektrik oleh golongan pekerja mereka yang bertugas dari rumah, menurut satu rombakan baharu undang-undang buruh yang diluluskan Kongres.
Kumpulan pekerja yang bertugas dari rumah atau dipanggil telekomuter itu juga harus disediakan semua peralatan yang diperlukan termasuk komputer dan kerusi ergonomik, menurut peraturan baharu yang diluluskan ahli Parlimen kelmarin.
Di bawah regulasi baharu itu, pihak majikan perlu membayar kos yang terhasil dari bekerja secara jauh, termasuk bayaran ‘perkhidmatan telekomunikasi dan sebahagian bil elektrik’.
Senat meluluskan rombakan undang-undang itu dengan sokongan 91 undi daripada 128 undi, iaitu selepas memperoleh kelulusan daripada Dewan Perwakilan Mexico.
Mexico mencatat hampir 112,000 kes kematian akibat koronavirus iaitu antara negara dengan kadar kematian tertinggi di dunia.
Negara dengan populasi penduduk lebih 128 juta itu turut merekodkan sebanyak 1.2 juta kes Covid-19 dan banyak syarikat serta organisasi terpaksa menutup premis serta meminta pekerja mereka bertugas dari rumah. – AFP














