MEXICO CITY – Mexico akhirnya menamatkan penantian selama 40 tahun untuk memenangi aksi kalah mati Piala Dunia apabila menewaskan Ecuador 2-0 pada pusingan 32 terbaik di Stadium Azteca, sebentar tadi.
Perlawanan yang tertangguh hampir sejam akibat ribut tidak menjejaskan rentak skuad tuan rumah apabila mereka terus mengasak sebaik wisel permulaan ditiup dengan Raul Jimenez dan pemain berusia 17 tahun, Gilberto Mora terlebih dahulu menguji kubu Ecuador.
Dominasi Mexico akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-22 apabila Julian Quinones melakukan larian solo dari sebelah kiri sebelum melepaskan rembatan kencang yang gagal diselamatkan penjaga gol, Hernan Galindez.
Mexico terus menggandakan kelebihan lapan minit kemudian apabila Quinones sekali lagi menjadi pencetus gerakan dengan lorongan kemas disudahkan Jimenez menerusi rembatan padu ke penjuru atas gawang.
Ecuador cuba mengubah nasib pada babak kedua menerusi beberapa pertukaran pemain, namun mereka terus buntu menembusi benteng kemas Mexico yang sesekali hampir menambah jaringan menerusi Cesar Montes.
Kevin Rodriguez hampir menghidupkan peluang Ecuador pada suku terakhir permainan, namun percubaannya sekadar tersasar sebelum Piero Hincapie dibuang padang pada masa kecederaan selepas terbabit dalam insiden dengan pemain lawan.
Kemenangan itu membolehkan Mexico menamatkan sumpahan yang berlarutan sejak edisi 1986 apabila kali terakhir mereka memenangi perlawanan kalah mati Piala Dunia, juga ketika bertindak sebagai tuan rumah.
Lebih membanggakan, Mexico kini kekal tanpa kalah dalam 10 aksi Piala Dunia di Stadium Azteca selain mara ke pusingan 16 terbaik selepas memenangi kesemua tiga perlawanan peringkat kumpulan tanpa melepaskan sebarang gol.
Mexico kini akan berdepan pemenang antara England atau Republik Demokratik Congo pada pusingan 16 terbaik, sekali gus menghidupkan harapan untuk melakar satu lagi sejarah pada kempen kali ini. KOSMO! ONLINE














