fbpx

PKPD di Kulim, Kedah dilanjutkan, 3 lokaliti di Bentong dikenakan PKPD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman-Taman Perumahan, Mukim Sungai Seluang, Kulim, Kedah dilanjutkan selama 14 hari bermula 11 Disember sehingga 24 Disember 2020.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 2,282 ujian saringan secara bersasar dan sebanyak 137 kes kumulatif positif Covid-19 telah direkodkan yang melibatkan penduduk di lokaliti-lokaliti terbabit.

“Sehingga kini, KKM turut mengesahkan masih terdapat baki 128 sampel saringan yang masih menunggu keputusan. Berdasarkan penilaian risiko dan atas nasihat KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk melanjutkan selama 14 hari lagi PKPD di kawasan terlibat.

“Walaubagaimanapun, Taman Sawi dikeluarkan daripada pelaksanaan PKPD ini disebabkan tiada kes positif yang direkodkan dari taman perumahan tersebut. Namun, ia masih tertakluk di bawah pelaksanaan PKPB bagi daerah Kulim yang masih berkuatkuasa sehingga 20 Disember 2020,” jelasnya dalam satu sidang akhbar hari ini.

Taman perumahan yang terlibat ialah Taman Bayam, Taman Bayam Indah, Taman Kangkong 1 dan 2, Taman Halia, Taman Cekur Manis, Taman Kobis, Taman Sawi dan Taman Seri Limau.

Dalam pada itu, sidang khas hari ini mendengar pengesahan KKM berkenaan peningkatan kes positif Covid-19 di Amber Court Apartment, RIA Apartment dan Rumah Kongsi Kg. Semaut di dalam mukim Bentong, Pahang.

Katanya, KKM telah melaksanakan saringan bermula 6 Disember dan sehingga 8 Disember 2020 sebanyak 55 kes positif Covid-19 telah direkodkan di mukim Bentong di mana majoriti adalah melibatkan pekerja warganegara asing di lokaliti-lokaliti ini.

“Penilaian risiko KKM mendapati ketiga-tiga lokaliti ini mempunyai risiko tinggi untuk berlaku penularan lebih ramai kerana kapasiti penduduk yang padat.

“Atas nasihat dan penilaian risiko KKM, sidang khas hari ini bersetuju melaksanakan PKPD di tiga lokaliti ini bermula 10 Disember sehingga 23 Disember 2020.
PKPD di ketiga-tiga lokaliti ini akan melibatkan seramai 4,351 orang penduduk.

“Pelaksanaan PKPD ini bagi membolehkan KKM mengesan dan membuat saringan bersasar kepada kontak rapat serta menyekat penularan Covid-19 dalam komuniti,” jelasnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI