fbpx

Saringan awal elak risiko sakit jantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
FARID AHMAD TARMIJI, WARTAWAN EKSEKUTIF.

UMUM mengetahui ma­salah serangan jantung merupakan penyakit yang begitu ditakuti khasnya kepada penduduk Malaysia.

Dianggap sebagai pembunuh senyap, mereka yang diserang penyakit ini juga berisiko tinggi untuk kehilangan nyawa dalam sekelip mata.

Lebih menakutkan, penyakit jantung turut dianggap sebagai penyumbang tertinggi kepada kadar kematian di negara ini.

Sepanjang tahun lalu, seba­nyak 173,746 kematian telah direkodkan dengan 109,164 kes melibatkan kematian yang disahkan secara perubatan, manakala 64,582 pula adalah kematian tidak disahkan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin menjelaskan, daripada jumlah itu, penyakit jantung iskemik kekal menjadi punca utama kematian di Malaysia dengan mencatatkan sebanyak 16,325 kematian atau 15 peratus daripada jumlah kematian yang disahkan secara perubatan.

“Sebanyak 11,330 atau 69.4 peratus kematian disebabkan oleh penyakit jantung iskemik adalah dalam kalangan lelaki, manakala 4,995 atau 31.6 peratus pula adalah perempuan.

“Penyakit jantung iskemik adalah punca utama kematian bagi kumpulan etnik di Malaysia yang mana etnik Bumiputera adalah sebanyak 14.5 peratus, Cina 14 peratus dan India seba­nyak 20.4 peratus,” katanya da­lam kenyataan akhbar mengenai Laporan Perangkaan Sebab Kematian Malaysia 2020.

Dalam pada itu, Pakar Perun­ding Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Azmee Mohd. Ghazi menjelaskan, pe­nyakit jantung iskemik adalah disebabkan oleh pengurangan pengaliran darah yang mengan­dungi oksigen ke bahagian otot jantung.

“Otot jantung memerlukan darah yang mengandungi oksigen untuk menjalankan fungsinya. Jika berlaku penyempitan di bahagian saluran darah ia akan menyebabkan kurangnya darah beroksigen disalurkan di bahagian tersebut.

“Apabila perkara ini berlaku ia akan menyebabkan berlakunya serangan jantung secara serta-merta,” katanya

Dalam pada itu, Azmee menegaskan, ada beberapa faktor risiko yang menyebabkan berlakunya masalah penyakit jantung iskemik.

Pertama adalah faktor boleh diubah seperti tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, diabetes, obesiti dan lain-lain.

“Pesakit yang mempunyai faktor yang boleh diubah ini berisiko untuk mendapat penyakit jantung iskemik.

“Manakala yang kedua adalah faktor yang tidak boleh diubah seperti umur dan jantina.

“Di negara ini mereka yang ber­usia 50 tahun ke atas berisiko tinggi untuk mendapat penyakit ini. Selain itu kaum lelaki juga lebih berisiko berbanding perempuan,” tegasnya.

Oleh itu, Azmee menegaskan pencegahan awal adalah pen­ting dan mereka yang mempunyai faktor boleh diubah sebaiknya memantau dan mengawal pe­nyakit yang mereka hadapi agar masalah jantung iskemik ini ti­dak menyerang.

“Selain itu, kita juga meminta pesakit melakukan saringan awal jika berhadapan dengan masalah jantung bagi membolehkan doktor memilih rawatan yang sesuai buat pesakit,” jelas­nya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI