fbpx

15 lelaki tular bergaduh dalam pub mengaku tidak bersalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Video tular CCTV pergaduhan membabitkan 15 lelaki di sebuah pub bulan lalu.

KUALA LUMPUR – Seramai 15 lelaki yang tular rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) pergaduhan di sebuah pub bulan lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rusuhan dengan tujuan mendatangkan kecederaan kepada empat lelaki di sebuah pusat hiburan, bulan lalu.

Mereka ialah  V.Gobi Ramanan, M.K.Kannan, S.Somasundaram,  M.Pushpanathnan,  C.Thayalan, M.Thiru Vijaya Kumar; M.Mathan, V.Batmanthan; S.Ganesh.

Selain itu ialah Muhammad Shahrul Anuar Sharizan, D. Nathan, Muhammad Shanker Sekaran,  S. Pirabu,  R.S Muguntan dan A.J. Nicholus.

Kesemua mereka berusia 24 hingga 47 tahun membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Tawfiq Affandy Chin.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama tiga orang masih bebas adalah ahli satu kumpulan yang menyalahi undang-undang dimana tujuan bersama adalah untuk mendatangkan kecederaan kepada empat individu dan dalam perhimpunan tersebut telah merosakkan harta benda dan kekerasan telah digunakan oleh satu atau lebih.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pusat hiburan di Menara UP Jalan Puchong, Brickfields di sini pukul 11.25 malam pada 25 November lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh yang diwakili peguam J.Gunamalar S.Kailash, Johmdas , Shashi Devan dan Datuk Joshua Sambanthan masing-masing memohon jaminan rendah dengan alasan mereka menanggung keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Januari 2021 untuk sebutan kes.

Di mahkamah sama, tertuduh Pushpanathnan turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki satu tatu kumpulan “04” iaitu tatu di bahagian lengan kiri dengan niat menganggotai atau menjadi ahli mana-mana ahli kongsi gelap yang diwartakan haram oleh kerajaan Malaysia.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Daerah (IPD) Brickfields di sini pukul 7.30 petang pada 1 Disember lalu.

Bagi kes itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966(Akta 335) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM15,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sama untuk sebutan kes.

Pada 27 November lalu, Kosmo! Online melaporkan seramai 15 individu ditahan termasuk seorang lelaki berpangkat Datuk selepas terbabit dalam pergaduhan di sebuah pub di Jalan Puchong di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi selepas menerima aduan mengenai kejadian pukul 11.20 malam.

Sebelum itu, satu hantaran berserta rakaman CCTV berdurasi dua minit 24 saat menunjukkan pergaduhan antara sekumpulan lelaki tular di media sosial hari ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI