fbpx
Zulkifli menyampaikan sumbangan kepada golongan gelandangan semasa Program Santuni Gelandangan dan Mualaf serta Perasmian Kelas Bimbingan Yadim di Pusat Gelandangan Dapur Kausar, Seremban, hari ini. - Foto MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE

Tiada pegawai Jakim terlibat kes seludup daging

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh BADRUL HAFIZAN MAT ISA

SEREMBAN – Tiada penglibatan pegawai dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) susulan terbongkarnya aktiviti penyeludupan daging sejuk beku yang dibungkus semula dengan logo pengesahan halal baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beliau sendiri telah melawat dan meninjau makmal halal Jakim  dan melihat sendiri kesungguhan setiap pegawai dan pekerja dalam menjalankan tugas.

“Saya tidak akan kata macam itu (pegawai Jakim terlibat) melainkan ada bukti, setakat ini saya beristiqah (percaya) dan saya baru melawat di tempat Jakim, makmal dan halalnya, Alhamdulillah apa yang saya lihat, kesungguhan itu amat terbukti.

“Saya beri peringatan kepada diri saya dan juga agensi di bawah saya untuk bekerja dengan betul, tekun, ikhlas dan jujur, mempunyai integriti yang tinggi, Insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Santuni Gelandangan dan Mualaf serta Perasmian Kelas Bimbingan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Pusat Gelandangan Dapur Kausar dekat sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dan kemudiannya dibungkus semula dengan logo pengesahan halal serta menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia.

Taktik tersebut terbongkar dalam satu serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah Gudang di Senai, Johor Bahru baru-baru ini.

Sementara itu, menurut Zulkifli, Jakim akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam isu perakuan halal tersebut.

“Insya-Allah, Jakim akan buat pemantauan dan bekerjasama dengan kementerian-kementerian yang terbabit. Di samping itu, kami akan gerakkan dengan hubungan bersama kerajaan negeri untuk melihat dengan lebih dekat lagi selain pastikan supaya hala itu jelas dan sebenar-benar diperakui dan tidak diragui,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berterima kasih dengan penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Dapur Kausar yang mengambil langkah membuka kelas pengajian agama untuk golongan mualaf dan gelandangan.

“Saya ambil kesempatan untuk ucapkan terima kasih kepada semua, kerjasama seperti ini dapat tingkatkan syiar dan kefahaman Islam, insya-Allah, Yadim menyantuni seluruhnya tanpa mengira bangsa, bahasa dan juga warna kulit termasuk agama dalam menyampaikan bantuan,” katanya.