fbpx

Maqis patahkan cubaan bawa keluar durian tanpa permit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian bungkusan buah durian Musang King yang dirampas Maqis di KLIA pada 2 Disember lalu.

SEPANG – Seorang lelaki ditahan pihak berkuasa dipercayai cuba membawa keluar buah durian jenis Musang King dengan anggaran nilai RM22,400 ke Riyadh, Arab Saudi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 2 Disember lalu.

Serbuan ke atas suspek yang merupakan warga tempatan kira-kira pukul 12.30 tengahari itu telah dilakukan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dengan kerjasama Polis Bantuan Malaysia Airports.

Pengarah Maqis Selangor, Tarmisal Alimin berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas tujuh bagasi, mendapati sebanyak 280 paket buah durian seberat 126 kilogram (kg) cuba dibawa keluar oleh suspek.

“Buah durian yang dianggarkan bernilai RM22,400 tersebut dipercayai untuk dijual ke Arab Saudi dan sehubungan dengan itu kesemua buah durian tersebut dirampas kerana tiada permit eksport dan sijil fitosanitasi yang sah,”katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, perbuatan mengeksport keluaran pertanian tanpa permit yang sah adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 11(2), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), Akta yang sama.

“Jika sabit kesalahan, pengimport boleh didenda tidak melebihi RM100,000.00 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua – duanya sekali di bawah Seksyen 11(3), Akta yang sama, “katanya.

Beliau berkata, Maqis mengambil langkah serius dalam isu membabitkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

“Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI