fbpx

K2

LANGSIR digantung tinggi pada aras siling untuk memberikan dimensi ruang yang lebih besar.

Moden minimalis di kamar tidur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BILIK tidur merupakan ruang yang penting untuk beristirehat, menenangkan fikiran serta melelapkan mata selepas seharian penat bekerja.

Sehubungan itu, adalah penting untuk memastikan bilik tidur dalam keadaan kemas dan rapi dengan dekorasi menarik bagi ‘mengecas’ kembali tenaga.

Ruang tidur yang sempit bukan penghalang untuk memiliki dekorasi indah agar bilik tersebut menjadi tempat istirehat terbaik.

Menurut salah seorang pereka hiasan dalaman dari Deqasa Home, Aizul Marcello Ab. Rahim, 31, konsep moden minimalis sangat sesuai untuk menghias bilik tidur yang sempit.

“Pemilihan warna sangat penting untuk menampakkan ruang yang sempit itu kelihatan luas dengan menggunakan rona bumi seperti coklat cair, kelabu cair dan putih.

“Elakkan mengguna warna yang terlalu terang seperti merah atau biru pekat kerana ia bukan sahaja membuatkan ruang kelihatan sempit tetapi turut mempengaruhi mood anda,” katanya yang sudah tiga tahun berkecimpung dalam bidang hiasan dalaman bersama dua orang rakan pereka, Shazman Nawawi dan Zulfikri Zulkifli.

 

DEKORASI berkonsepkan moden minimalis sangat sesuai untuk menghias ruang bilik tidur yang sempit.

 

Tambahnya, warna bumi atau rona cerah itu juga boleh digunakan untuk cadar.

Ujarnya, kos untuk membuat dekorasi bilik tidur sempit itu memerlukan kira-kira RM10,000 yang merangkumi almari, perabot, langsir, katil, tilam, bantal dan set cadar.

Di samping itu, dia turut memberitahu, bilik tidur yang bagus ialah yang mempunyai pencahayaan dan pengudaraan yang baik.

Oleh itu, katanya. harus diingat kepala katil tidak boleh diletakkan berdekatan dengan tingkap kerana lokasi tersebut merupakan sumber pencahayaan.
Aizul Marcello berkata, bagi memberikan dimensi ruang itu kelihatan besar, langsir akan digantung tinggi pada aras siling.

 

PENGGUNAAN lilin wangi dapat menyegarkan suasana di dalam bilik tidur.

 

“Selain itu, letak perabot yang wajib sahaja bagi menjimatkan ruang seperti katil, almari baju, meja sisi atau meja tulis dan meja solek.

“Terdapat juga meja solek yang turut direka untuk dijadikan meja tulis dan ini merupakan inovasi terbaik untuk menjimatkan ruang,” ulasnya.

Sementara itu, dia turut mengingatkan agar peralatan senaman dan perabot seperti buaian santai tidak perlu diletakkan di dalam bilik tidur.

Bapa kepada tiga orang cahaya mata itu juga mengingatkan agar kebersihan bilik tidur dijaga dengan menukar cadar seminggu sekali.

Jangan lupa untuk meletakkan pewangi bilik seperti lilin wangi agar anda selesa berehat di dalam bilik tidur.

BERITA BERKAITAN