PETALING JAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya menyelamatkan seramai 94 individu yang cuba membunuh diri dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Mendedahkan perkara itu, Pengarah Bahagian Operasi JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, golongan lelaki paling ramai cenderung membunuh diri iaitu seramai 51 orang berbanding wanita sebanyak 43 orang.
Menurut beliau, kebanyakan mangsa berusia 20 tahun dan ke atas.
Rata-rata mereka cenderung bertindak demikian kerana masalah kemurungan selain masalah keluarga dan peribadi.
“Kebanyakan mangsa memilih bangunan perumahan yang tinggi seperti kondominium dan flat untuk menamatkan riwayat masing-masing, namun berjaya dipujuk oleh pasukan keselamatan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Nor Hisham memberitahu, Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Kedua Muar, Johor turut menjadi lokasi cubaan bunuh diri yang direkodkan pihak bomba pada tahun ini.
Mengikut pecahan negeri pula, Selangor mencatatkan jumlah panggilan bantuan menyelamatkan mangsa bunuh diri paling ramai iaitu sebanyak 23 individu.
“Daripada jumlah itu, seramai 14 individu terdiri daripada lelaki, manakala sembilan lagi adalah wanita.
“Kuala Lumpur mencatatkan rekod kedua tertinggi iaitu sebanyak 19 kes, diikuti Johor (12), Sarawak (8), masing-masing tujuh kes bagi Pulau Pinang dan Pahang serta Kedah (5),” katanya.
Tambah Nor Hisham, JBPM sedaya-upaya menyelamatkan mangsa dengan menggunakan pendekatan memujuk.
Banyak pihak menganggap tugas ini mudah, namun hakikatnya anggota bomba perlu bermain dengan emosi selain beberapa pendekatan lain.
“Kami memiliki anggota yang mempunyai kemahiran kaunseling yang membolehkan mereka bijak mengawal keadaan dan memujuk individu supaya tidak meneruskan hasrat membunuh diri.
“Pelbagai skrip digunakan kerana setiap individu yang mahu membunuh diri mempunyai alasan berbeza. Jadi anggota perlu bijak menggunakan pendekatan yang bersesuaian,” katanya.-K! ONLINE















