fbpx

Bahaya ‘dedalu api’ kepada negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
JAMDI NASIR,TIMBALAN PENGARANG KOSMO!/KOSMO! AHAD.

LAPORAN Kosmo! kelmarin mengenai sikap pecah amanah sejumlah kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sehingga menyebabkan ribuan pendatang asing bolos dan melanggar peraturan negara sesuka hati amat mendukacitakan kita.

Laporan tersebut jelas memberikan gambaran betapa bahayanya jika pintu masuk negara dikawal oleh golongan yang tidak jujur dan begitu mudah ‘gelap mata’ dengan wang ringgit.

Jika benar perkara itu berlaku, rakyat dan negara akan terus berdepan dengan bahaya kerana undang-undang dan peraturan dibuat dengan tujuan dan matlamat yang jelas.

Antaranya ialah melindungi keselamatan rakyat termasuk sebarang perlakuan jenayah seperti penyeludupan senjata, dadah dan bahan-bahan terlarang lain.

Begitu juga bagi menjaga keselamatan rakyat dari segi penularan penyakit, membawa ideologi sesat atau fahaman ekstrem sehingga boleh menggugat ketenteraman awam.

Oleh itu, kita sama sekali tidak boleh menerima hakikat bahawa wujud perlakuan secara berkumpulan mengaut keuntungan peribadi melalui jalan singkat tanpa langsung mempeduli risiko yang bakal menimpa rakyat umum di negara ini.

Golongan yang terlibat mungkin berfikir mereka hanya menipu kerajaan iaitu mengambil wang secara salah. Namun, mereka lupa bahawa di negara ini mereka juga mempunyai rakan-rakan, saudara-mara dan ahli keluarga termasuk ibu, bapa, anak dan isteri.

Jika mereka ini hanya akan insaf jika orang-orang yang mereka sayangi terkorban akibat salah laku mereka, maka ketika itu semuanya telah terlewat. Air mata darah sekali pun tidak akan mampu mencuci dosa yang dilakukan demi kesenangan hidup.

Mereka kita ibaratkan seperti dedalu api hinggap ke pohon kayu. Hinggap ke batang, batangnya mati; hinggap ke ranting, rantingnya patah.

Justeru, adalah penting bagi kerajaan untuk mengambil tindakan proaktif dalam membendung salah laku anggota mana-mana jabatan khususnya bahagian yang menjaga sempadan dan pintu masuk negara daripada mempunyai sikap seperti dedalu api.

Jika perlu memasang kamera badan, laksanakanlah. Jika perlu tambahan televisyen litar tertutup atau sistem pengkomputeran canggih, sediakanlah peruntukan sewajarnya.

Rakyat dan pembayar cukai sudah muak dengan berita perlakuan buruk pengkhianat negara ini. Cukup-cukuplah kita terhimpit dan terbeban dengan penularan Covid-19.

Kita belum menang menentang wabak penyakit, malangnya wabak virus rasuah dan salah guna kuasa pula berleluasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI