fbpx

Taylor Swift berang albumnya dijual senyap-senyap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SWIFT menghadiri tayangan perdana filem Cats di Lincoln Center, Bandar Raya New York pada 16 Disember 2019. - AFP

NEW YORK – Penyanyi popular Amerika Syarikat (AS), Taylor Swift mengesahkan bahawa hak untuk enam album pertamanya telah dijual kepada sebuah firma ekuiti persendirian tanpa pengetahuannya.

Penyanyi berusia 30 tahun itu menjadi antara ahli muzik paling menguntungkan di dunia selepas mengungguli carta lebih satu dekad menerusi lagu seperti Shake It Off dan I Knew You Were Trouble.

Bagaimanapun, pada tahun lalu, dia mula bertelingkah secara terbuka dengan taikun muzik AS, Scooter Braun yang menguruskan bintang pop lain seperti Justin Bieber dan Ariana Grande selepas syarikat Braun membuat keputusan membeli kepentingan majoriti dalam sejumlah besar rakamannya.

Swift berkata, dia cuba secara aktif untuk mendapatkan semula salinan asal rakamannya sejak setahun lalu dalam satu paparan di Twitter kelmarin susulan laporan majalah hiburan, Variety bahawa Braun telah menjual muzik itu pada harga AS$300 juta (RM1.23 bilion).

Di sebalik usaha untuk berunding dengan Braun, Swift berkata, pasukannya telah menerima sepucuk surat daripada syarikat ekuiti persendirian bernama Shamrock Holding mengumumkan bahawa Shamrock telah membeli hak muzik, video dan hasil seni untuk albumnya.

“Ini kali kedua muzik saya dijual tanpa pengetahuan saya,” tulisnya sambil menambah, dia mula merakam semula lagu-lagu awalnya. Braun masih belum membalas komen Swift.

Swift berjanji pada tahun lalu untuk mendapatkan semula hak ke atas enam album pertamanya dengan membuat salinan asal baharunya sendiri.

Perbalahan antara Swift dan Braun berlarutan selama beberapa bulan pada tahun lalu selepas taikun muzik itu membeli syarikat rakaman yang menerbitkan album penyanyi itu, Big Machine.

Swift berkata, Big Machine menyekatnya daripada menyanyikan lagunya di televisyen atau menerbitkan sebuah dokumentari di Netflix tetapi syarikat itu menafikan dakwaan tersebut. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI