fbpx

Alvin Goh kekal dalam tahanan reman POCA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alvin Goh

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Goh Leong Yeong atau lebih dikenali Alvin Goh yang direman selama 38 hari berkaitan judi online, kekal dalam tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 sehingga 20 Disember ini oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas menolak permohonan yang dikemukakan Alvin Goh ,32, selaku pemohon supaya dibebaskan serta-merta daripada direman di bawah akta itu.

“Selepas meneliti hujahan bertulis yang dikemukakan pemohon dan responden, saya bersetuju dengan responden dan menolak permohonan ini (habes corpus),” katanya dalam keputusan ringkas selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.

Dalam prosiding itu, Peguam Kanan Persekutuan, Muhammad Sinti mewakili responden pertama hingga keempat iaitu pegawai penyiasat, Asisten Superitendan Khairul Fairoz Rodzuan, Majistret di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia
manakala peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram serta Gobind Singh mewakili Alvin.

Sementara itu, Muhammad Sinti ketika ditemui selepas prosiding berkata, Alvin Goh kini ditahan selama 38 hari mengikut POCA, selepas tamat tempoh penahanan 21 hari.

“Penahanan 38 hari itu dijangka tamat pada 20 Disember ini,” katanya.

Perintah tahanan 38 hari itu adalah selepas polis mendapat perintah tahanan reman dari Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat lalu.

Kosmo! Online pada 9 November lalu melaporkan, Alvin Goh memfailkan permohonan habeas corpus supaya dibebaskan serta-merta di Mahkamah Tinggi di sini.

Alvin Goh selaku pemohon memfailkan permohonan itu melalui notis usul pada 3 November lalu menerusi Tetuan T.Y Teh & Partners dengan menamakan pegawai penyiasat Asisten Superitendan Khairul Fairoz Rodzuan, Majistret di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat.

Dalam permohonan itu, Leong Yeong memohon perintah bahawa penangkapan dan penahanannya pada 27 Oktober lalu di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan di bawah Seksyen 4(1)(a) POCA pada 31 Oktober adalah tidak sah, tidak berasas, tidak mematuhi prosedur dan bersifat mala fide (berniat jahat).

Selain itu, lelaki itu juga memohon bahawa perintah tahanan reman bertarikh 31 Oktober lalu oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur yang membenarkan penahanannya selama 21 hari bermula 31 Oktober sehingga 21 November di bawah POCA adalah tidak sah.

Turut dimohon perintah bahawa kemasukan perenggan 5, Bahagian 1, Jadual 1 di bawah POCA, bahawa semua orang yang terlibat dalam pengelolaan dan penggalakkan judi haram sebagai kategori yang boleh didaftarkan, adalah ultra vires dan di luar ruang lingkup atau skop akta berkenaan.

Pada masa sama, beliau juga memohon perintah bahawa writ habeas corpus dikeluarkan bagi pemohon dibawa dan dihadapkan ke mahkamah untuk dibebaskan dengan serta-merta selain memohon perintah supaya pemohon tidak boleh ditangkap atau ditahan semula.

Pada 28 Oktober lalu Kosmo!, melaporkan selepas hidup sebagai pelarian selama 15 hari, Alvin Goh yang dicari bagi membantu siasatan kes Macau Scam dan judi online berjaya diberkas ketika bersembunyi di sebuah apartmen di Genting Highlands, Pahang. Apartmen itu terletak kira-kira 40 kilometer dari ibu kota.

Lelaki berusia 32 tahun yang menjadi buruan polis sejak berjaya meloloskan diri selepas memanjat pagar belakang bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 11 Oktober lalu ditahan pada pukul 1.30 pagi oleh sepasukan polis.

Polis turut menahan seorang wanita warga China disyaki kekasih Alvin.– K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI