KUALA LUMPUR – Kerajaan memlalui Kementerian Perpaduan Negara tidak bercadang untuk melaksanakan undang-undang baharu dalam memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum di negara ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, akta dan undang-undang sedia ada sudah merangkumi dan telah mencukupi bagi menjaga keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia.
“Bagi individu yang sengaja melakukan perpecahan perpaduan dan keharmonian, mereka boleh disiasat dan didakwa di bawah lima akta berbeza yang dilihat lebih berkesan dan mampu memberi pengajaran kepada mereka yang melakukannya.
“Mereka boleh didakwa di bawah Subseksyen 41 Akta Hasutan 1948 iaitu kesalahan menghasut, yang kedua ialah Seksyen 29 (8) (a) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat serta memudaratkan pemuliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.
“Mereka juga boleh dikenakan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan. Selain itu, Seksyen 505 Kanun keseksaan iaitu kesalahan yang mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam dan Sekyen 506 Kanun Keseksaan iaitu menakutkan secara jenayah.
“Manakala Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu kesalahan menggunakan secara tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini. – K! ONLINE














