fbpx

Racun sintetik jadi ejen pencemaran alam sekitar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MUTAKHIR ini, aktiviti pertanian untuk sumber makanan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan semakin mendapat tempat di hati masyarakat.

Perkara itu kita boleh perhatikan setelah lebih 500,000 pengikut di Facebook mengikuti laman Kebun Bandar Jom Tanam Sendiri yang menyediakan platform untuk pekebun bandar berkongsi teknik berkebun di halam rumah mereka.

Selain itu, kini ramai juga graduan lepasan universiti yang memilih aktiviti pertanian sebagai kerjaya.

Melalui peningkatan ini, negara akan kurang bergantung kepada hasil import pertanian bagi menampung keperluan rakyat, sekali gus meningkatkan taraf ekonomi petani.

Namun, peningkatan aktiviti pertanian ini juga akan meningkatkan penggunaan racun sintetik yang sukar terurai secara semula jadi yang boleh mencemarkan alam sekitar.

Pensyarah Kanan Jabatan Alam Sekitar Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia, Dr. Noor Hafizah Mohd. Pushiri menegaskan, penggunaan racun sintetik ini perlu dikurangkan ke tahap minimum atau tidak digunakan langsung.

Menurutnya, sebaliknya gantikannya dengan alternatif lain seperti racun organik atau kawalan biologi.

“Cara penggunaan racun sintetik ini yang rata-ratanya melalui proses semburan akan mengakibatkannya tersebar ke kawasan lain melalui udara.

“Racun yang menyerap masuk ke dalam tanah juga boleh tersebar ke sungai-sungai melalui air dalam tanah dan seterusnya ke laut,” jelasnya.

Jika penggunaan racun ini tidak dikawal, ia sebenarnya boleh mengakibatkan berlakunya masalah pencemaran alam sekitar.

Sebagai contoh, pada tahun 2015, media melaporkan tentang isu pencemaran sungai Bertam dan sungai Terla di Cameron Highlands, Pahang dengan racun sintetik akibat penggunaan secara haram dan berlebihan oleh petani.

Pada tahun 2019, sekali lagi media melaporkan penggunaan racun sintetik di Cameron Highlands masih tinggi.

Katanya lagi, racun yang tersebar ke tanah akan diserap oleh tumbuhan yang akan dimakan oleh haiwan.

Sebagai contoh, kambing memakan tumbuhan yang diserap dengan racun sintetik tersebut dan kemudiannya haiwan itu dimakan pula oleh manusia.

“Racun tersebut akhirnya boleh terkumpul dalam badan manusia.

“Ibu yang mengandung atau menyusukan anak pula akan menyalurkan racun tersebut kepada anaknya,” jelasnya.

 

Tanaman yang tidak menggunakan racun sintetik tidak akan membahayakan kesihatan manusia yang memakannya. – Gambar hiasan

 

Begitu juga dengan racun yang tersebar ke sungai dan laut akan menyerap masuk ke dalam hidupan air seperti udang dan ikan, yang akhirnya akan dimakan oleh manusia dan mengakibatkan pengumpulan racun tersebut dalam badan.

Racun sintetik ini telah dibuktikan boleh mengakibatkan masalah kesihatan kepada manusia, termasuk boleh membawa maut.

Oleh sebab itu, sebahagian racun yang telah dikenal pasti sebagai toksik seperti dichlorodiphenyltrichloroethane (DD) dan lindane telah diharamkan atau dihadkan penggunaannya.

Kedua-dua toksik itu boleh menyebabkan seseorang itu mengigil-gigil, kekejangan otot, pernafasan tidak terkawal, bahkan membawa maut.

Pada masa ini, saintis berusaha untuk mencari jalan terbaik bagi menghilangkan sisa racun dari alam sekitar.

“Salah satu cara untuk membersihkan racun ini dengan selamat adalah melalui bioremediasi, iaitu proses penguraian bahan pencemar dari persekitaran dengan memanipulasi aktiviti biodegradasi oleh bakteria,” terang Noor Hafizah.

Tambahnya namun begitu, proses ini tidaklah mudah dan saintis perlu mengenal pasti kawasan yang tercemar dengan racun, selain memahami bakteria yang boleh menguraikan racun.

Selain itu, mereka juga perlu mengambil kira kebarangkalian ada bahan lain dirembeskan oleh bakteria tersebut atau aspek lain muncul daripada proses pembersihan yang mengakibatkan pencemaran baharu kepada persekitaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI