fbpx

Mangsa timbunan tanah runtuh datang ke Ipoh atas urusan kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahli keluarga mangsa enggan ditemubual keluar dari Jabatan Forensik Hospital Permaisuri Bainun, Ipoh. Foto - ZULFACHRI ZULKIFLI

IPOH – Pasangan yang maut dalam kejadian tanah runtuh di The Banjaran Hotsprings Retreat di Tambun semalam, baharu mendaftar masuk ke resort berkenaan sehari sebelum kejadian berlaku.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, kedua-dua mangsa difahamkan datang ke Ipoh atas urusan kerja.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut sama ada mangsa datang bersama atau berasingan ke sini.

“Kedua-dua mangsa berasal dari Kuala Lumpur di mana lelaki itu bekerja di syarikat minyak dan gas manakala wanita tersebut merupakan ejen hartanah. Difahamkan mereka datang ke Ipoh atas urusan kerja.

“Kita perlu faham, di bawah prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), rentas negeri untuk urusan pekerjaan dibenarkan, ada surat majikan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.

Menurut A. Asmadi, bedah siasat ke atas kedua-dua mangsa mendapati punca kematian akibat kecederaan ditimpa dinding dan tembok ekoran runtuhan tanah.

Katanya, kedua-dua mangsa telah dituntut oleh ahli keluarga masing-masing selepas proses bedah siasat selesai dijalankan hari ini.

“Pengecaman ke atas mayat mangsa lelaki dilakukan isterinya manakala mangsa wanita pula telah dicam oleh adik perempuannya,” katanya.

Sementara itu, usaha pemberita untuk menemubual isteri Chee Wei dan adik perempuan Tze Juin tidak berjaya apabila mereka enggan ditemu bual dan bertindak melarikan diri selepas selesai proses dokumentasi di Jabatan Forensik HRPB.

Kosmo! hari ini melaporkan, hujan lebat berterusan telah menyebabkan kejadian runtuhan tanah di sebuah villa The Banjaran Hotsprings Retreat di Tambun yang mengakibatkan dua mangsa terperangkap dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi semalam.

Mayat Ooi Chee Wei, 39, dan rakan wanitanya, Lee Tze Juin, 32, ditemui dalam keadaan bertindih kira-kira pukul 9.15 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat di bahagian jakuzi dalam bilik tersebut selepas operasi dijalankan hampir 10 jam. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI