fbpx

RUU lulus, penjenayah pencemaran berdepan denda RM1juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Penjenayah alam sekitar yang mencemar sumber air di Selangor bakal didenda maksimum RM1juta dan penjara mandatori.

Pelaksanaan hukuman tersebut selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Pindaan 2020.

Pindaan RUU itu dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada Jumaat lalu sebelum dibahaskan dan mendapat sokongan daripada wakil rakyat Pakatan Harapan (PH ) dan Perikatan Nasional (PN).

Berdasarkan pindaan tersebut, denda dinaikkan daripada RM100,000 kepada minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta, manakala penjara dijadikan hukuman mandotari.

Undang-undang tersebut juga membolehkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menuntut kos membersih sumber air serta ganti rugi sepanjang memegang harta yang disita.

Amirudin berkata, rang undang-undang itu memperuntukkan beberapa perkara antaranya menambah baik prosedur arahan kepada mana-mana individu atau pihak berkuasa awam supaya mengambil langkah pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air yang terjejas.

“Penambahbaikan ini termasuk memberi kuasa kepada LUAS untuk mengenakan caj lebihan pengambilan air sebagai langkah untuk mengawal penggunaan dan pembaziran sumber air.

“Malah, peruntukan ini memberi kuasa kepada pengarah atau pangkat pegawai polis tidak rendah daripada inspektor untuk menyita tanpa waran harta benda,” jelasnya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, RUU itu juga membenarkan mahkamah memerintahkan harta benda yang disita dilucutkan hak walaupun tiada pertuduhan.

“Sekiranya mahu dituntut semula, ia perlu dirujuk kepada mahkamah. Selain itu, tiada seorang pun yang berhak menuntut ganti rugi berkaitan penyitaan harta benda dan memperuntukkan kuasa kepada LUAS untuk memberi ganjaran kepada pemberi maklumat,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI