fbpx

Kerjasama semua pihak banteras salah guna dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TUGAS memerangi dadah di negara ini bukan terletak di bahu AADK semata-mata, tetapi semua pihak perlu bekerjasama erat untuk membanterasnya. – Gambar hiasan

PELAKSANAAN menangani masalah dadah di Malaysia melalui sejarah panjang dengan penubuhan pelbagai jawatankuasa dan badan bertindak sehinggalah tertubuhnya Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Usaha awal kerajaan menangani isu dan masalah dadah melalui tindakan undang-undang dengan menguat kuasa Akta Dadah Berbahaya 1952, tetapi pelaksanaan undang-undang tersebut dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan secara berasingan.

Pada 30 Disember 2004, bersesuaian dengan cabaran persekitaran dan keperluan jangka panjang, kerajaan meluluskan Akta AADK 2004 serta meluluskan penubuhan AADK.

Agensi itu diberi mandat dan fungsi utama dalam aspek pencegahan, pengesanan, penangkapan, penguatkuasaan, penyiasatan dan pendakwaan ke atas pesalah melibatkan kesalahan dadah serta rawatan dan pemulihan penagih.
Bagi membincangkan lebih lanjut mengenai permasalahan dadah di negara ini, wartawan Kosmo! Ahad, Zubaidah Ibrahim menemu bual Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah di pejabatnya di Kajang, Selangor baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Masyarakat mungkin memahami agensi ini berkaitan dengan usaha membanteras dadah, boleh Datuk Seri terangkan mengenai peranan AADK?
Zulkifli: AADK adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menjadi agensi peneraju membanteras penyalahgunaan dadah dan substan di Malaysia. Tugas dan peranan kami meliputi tiga teras utama iaitu pendidikan pencegahan, penguatkuasaan dan keselamatan, rawatan perubatan dan pemulihan serta diperkukuhkan dengan hubungan antarabangsa. Justeru, tanggungjawab kami lebih tertumpu kepada aspek permintaan dadah, penagihan, pendidikan pencegahan dan program rawatan serta pemulihan. Kami juga membuat penelitian ke atas dasar-dasar berkaitan dadah, menasihatkan kerajaan, melihat trend semasa penyalahgunaan dadah dan menjalankan kajian dengan menghadiahkan geran penyelidikan kepada universiti. Usaha-usaha menyekat pengedaran secara besar-besaran pula dipikul oleh Polis Diraja Malaysia dan Kastam Diraja Malaysia yang membuat tangkapan serta rampasan.

 

AADK berfungsi melalui pendekatan pencegahan, perawatan dan pemulihan dadah, boleh Datuk Seri huraikan pendekatan-pendekatan ini?
Sebenarnya, usaha menangani masalah dadah ini memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak seperti agensi berkaitan dengan keluarga, belia, agama dan perpaduan. Kerjasama bersepadu dengan semua pihak ini dapat memberi kesan menyeluruh, sekali gus menyelesaikan permasalahan dadah di negara ini. Oleh itu, AADK melatih jabatan, agensi dan pertubuhan bukan kerajaan untuk bersama-sama melakukan pencegahan dadah. Kita mempunyai beberapa program khusus bagi menangani permasalahan dadah seperti Program Intelek Asuhan Rohani untuk murid sekolah rendah, program Sayangi Hidup Elak Derita Selamanya (pelajar sekolah menengah) dan program Great Teacher Organization yang memberi latihan pengendalian kes berkaitan dadah di sekolah kepada guru. Selain itu, kita juga melaksanakan program Family on Alert kepada keluarga, program SMART dan Skuad Antidadah (belia), Tempat Kerja Bebas Dadah (majikan dan pekerja) serta program Community Empowerment (komuniti). Dari segi rawatan, terdapat tiga komponen utama yang diberi perhatian iaitu bio, psikososial dan spiritual.

 

MENURUT Zulkifli, pihak AADK mengadakan pelbagai program melibatkan sekolah, komuniti dan NGO dalam memerangi penyalahgunaan dadah di negara ini.

 

Pada pandangan Datuk Seri, apakah punca yang menyebabkan kes dadah berkembang dalam masyarakat?
Terdapat banyak punca yang menyumbang kepada penyalahgunaan dadah. Antaranya pergaulan dengan kawan yang tidak baik dan sikap ingin mencuba. Peratusan tertinggi punca penagihan dadah adalah pengaruh kawan akibat kurangnya perhatian daripada ibu bapa. Ibu bapa perlu memainkan peranan yang lebih baik dalam memantau anak mereka seperti mengetahui aktiviti harian dan dengan siapa mereka berkawan. Selain itu, stigma terhadap dadah perlu diperbetulkan. Ibu bapa jangan malu hendak mengaku apabila anak-anak terlibat dengan dadah, sebaliknya segera membawa mereka untuk mendapatkan rawatan. Ada juga yang menggunakan dadah kerana sering dimomokkan bahawa akan lebih bertenaga dan mampu bertahan lama ketika bekerja. Tetapi tanpa mereka sedari, ia merosakkan kesihatan termasuklah mental. Penjual dadah sangat licik dan akan menggunakan pelbagai cara untuk mencari pelanggan baharu seperti memberi dadah percuma sehingga menjadi ketagih serta bergantung kepada bahan terlarang itu.

 

Boleh Datuk Seri kongsikan jenis dadah yang lazim mencatatkan pengambilan tertinggi di negara ini?
Dadah yang mencatatkan pengambilan tertinggi di negara ini ialah jenis methaphetamine seperti syabu dan pil kuda. Di negeri-negeri Pantai Timur paling banyak mengambil pil kuda kerana mudah dibawa masuk dari negara jiran. Sebanyak 90 peratus dadah di negeri-negeri Pantai Timur datangnya dari negara jiran. Disebabkan itu, kita telah melaksanakan Perbincangan Kota Bharu pada bulan Julai lalu yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan untuk mengekang kemasukan dadah ke dalam negara terutamanya melalui persempadanan negara.

 

Boleh Datuk kongsikan usaha-usaha yang AADK lakukan untuk membanteras dadah di negara ini?
Pihak kami telah melaksanakan projek rintis untuk membasmi penyalahgunaan dadah secara bersepadu di 12 kawasan berisiko tinggi seluruh negara. Kawasan-kawasan itu adalah di Kuala Kedah, Felda Lubuk Merbau dan Langkawi di Kedah, Sungai Besar, Petaling Jaya Selatan dan Gugusan Felda Hulu Selangor (Selangor), Setapak (Kuala Lumpur), Batu Pahat dan Johor Bahru (Johor). Pengkalan Chepa (Kelantan), Kuala Dungun (Terengganu) dan Felda Keratong (Pahang). Projek itu dilaksanakan secara rasmi pada 1 Julai 2019 membabitkan penyertaan 10 kementerian dan 15 agensi di bawah Dasar Dadah Negara, jabatan-jabatan lain serta badan bukan kerajaan (NGO). Sehingga kini, empat daripada 12 kawasan berisiko tinggi ini telah diisytiharkan sebagai zon hijau. Kawasan itu adalah Felda Keratong, Felda Lubuk Merbau, Sungai Besar di Sabak Bernam dan Gugusan Felda Hulu Selangor. Empat lagi kawasan iaitu Kuala Kedah, Setapak, Batu Pahat serta Johor Bahru berada dalam zon kuning. Sementara Langkawi, Petaling Jaya Selatan, Kuala Dungun dan Pengkalan Chepa masih dalam zon merah. Kita menjangkakan, menjelang akhir tahun ini iaitu berakhirnya tempoh projek rintis, kesemua kawasan akan dikategorikan sebagai hijau atau sekurang-kurangnya kuning. Kaedah-kaedah yang terbaik yang kita perolehi daripada pelaksanaan di 12 buah kawasan ini akan diaplikasikan untuk pelaksanaan di 155 lagi kawasan berisiko tinggi yang dikenal pasti mulai 2021 hingga 2025.

Dari segi pemulihan, adakah kaedah pemulihan yang dilaksanakan pada hari ini berkesan untuk mengelak kes penagih dadah berulang?
Kita harus faham, penagihan dadah adalah penyakit kronik berulang yang memerlukan sokongan pelbagai pihak seperti keluarga, majikan dan masyarakat serta kekuatan diri sendiri untuk pulih.
Pihak kami melaksanakan pendekatan yang dibuktikan secara saintifik dan menekankan faktor kerohanian. Kami percaya, apabila agama diperkemaskan dalam diri, ia jadi benteng daripada godaan dadah.
Namun, tiada jaminan selepas keluar daripada pusat pemulihan, mereka bebas sepenuhnya daripada ketagihan dadah.

 

PENGAMBILAN dadah tertinggi di negara ini menurut Zulkifli, adalah daripada jenis dadah sintetik seperti syabu dan pil kuda.

 

Justeru, AADK bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk membantu mereka pulih seperti mendapatkan bantuan daripada Jabatan Tenaga Kerja dan Kementerian Belia dan Sukan.Ini bagi mencari pekerjaan kepada mereka agar dapat mengalih perhatian mereka daripada dadah.

 

Adakah wujud dadah jenis baharu yang menyukarkan usaha membanterasnya?
Kita harus sedar bahawa menyelesaikan masalah penagihan dadah ini bukan terletak di bahu AADK sahaja, tetapi merangkumi sokongan semua pihak. Setiap pihak perlu menganggap dadah adalah isu global dan menuntut tanggungjawab daripada mereka. Permasalahan dadah adalah manifestasi daripada isu pelencongan sosial lain. Seseorang itu boleh terlibat dengan dadah melalui pelbagai faktor. Oleh itu, ia memerlukan sokongan menyeluruh untuk menyelesaikannya termasuk memikirkan cara untuk membantu bekas penagih kekal pulih. Kewujudan dadah jenis baharu sememangnya menyukarkan lagi tugasan ini dari segi perundangan, kaedah untuk mengenal pasti dan juga kaedah untuk merawat dan memulihkan mereka yang mengambilnya.

 

Apakah harapan AADK dan perancangan pada masa depan?
AADK berharap masalah dadah akan berkurangan dan bukan lagi menjadi musuh nombor satu negara. Bagaimanapun, hasrat itu hanya boleh dicapai dengan bantuan dan penglibatan oleh semua pihak.Selain itu, kepada mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah, sila tampil mendapatkan rawatan dan menjalani pemulihan secara sukarela. AADK sedia membantu, begitu juga dengan jabatan-jabatan lain serta NGO.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI