fbpx

K2

Doktor gajah India rawat lebih 10,000 gajah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DR. SARMA mengabadikan lebih 35 tahun usianya dengan merawat gajah serta menyelamatkan ribuan haiwan tersebut di hutan.

“SAYA sangat bahagia ketika berada bersama gajah.

“Jumlah waktu yang saya habiskan bersama gajah lebih banyak berbanding bersama keluarga,” jelas Dr. Kushal Konwar Sarma.

Sarma seorang doktor haiwan juga dikenali sebagai Doktor Gajah dalam komuniti hidupan liar di India.

Dia telah menghabiskan lebih 35 tahun hidupnya dengan merawat gajah dan menyelamatkan ribuan nyawa mamalia tersebut di hutan di India dan Indonesia.

Lelaki yang berusia 60 tahun itu dilahir dan dibesarkan di kampung Barma yang terletak di bahagian timur laut negeri Assam, India yang menjadi lokasi penempatan lebih 5,000 ekor gajah di negara itu.

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan pada tahun 2017, populasi gajah di India adalah lebih 27,000 ekor.

Dr. Sarma juga menyatakan bahawa dia dapat memahami bahasa gajah.

“Selain memberi makan, saya juga boleh berkomunikasi dengan haiwan tersebut menggunakan bahasa isyarat.

“Sekarang kebanyakan gajah di sini mengenali saya,” katanya.

DISEBABKAN jasanya merawat dan menyelamatkan ribuan mamalia darat terbesar itu, Dr. Sarma lebih dikenali sebagai Doktor Gajah di negaranya, India.

Selain itu, dia juga mendapat penghargaan Padma Shri iaitu salah satu penghormatan awam tertinggi di India atas sumbangannya dalam merawat haiwan tersebut.

Dia dikatakan telah merawat lebih daripada 10,000 ekor gajah sehingga kini.

Bercerita lanjut, Dr. Sarma menjelaskan, semuanya bermula pada 1984, ketika dia pertama kali merawat gajah di bawah bimbingan mentornya, Prof. Subhash Chandra Pathak.

“Saya masih ingat saat pertama kali bersamanya ke Taman Nasional Manas untuk merawat gajah.

“Saya sangat gembira dan bersemangat pada hari itu,” katanya.

Dr. Sarma sebenarnya telah mempunyai hubungan akrab dengan gajah sejak kecil yang mana keluarganya pernah merawat dan memelihara gajah betina yang bernama Laxmi di rumahnya.

“Ketika saya berusia sekitar tujuh tahun, saya biasa duduk di atas Laxmi dan kami akan mengelilingi kawasan kampung.

“Itu salah satu kenangan yang paling jelas saya ingat sehingga hari ini. Begitulah cara bagaimana saya mula mencintai haiwan ini,” tegasnya.

Hubungannya yang dekat dengan gajah telah mengukuhkan kariernya sebagai doktor yang merawat haiwan di negeri Assam.

Menjelang musim tengkujuh, Assam sangat terdedah kepada banjir besar dan berbahaya terhadap haiwan di situ.

Taman Negara Kaziranga yang merupakan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang terletak di negeri itu adalah salah satu kawasan terjejas setiap kali musim tengkujuh.

Pada Julai lalu, negeri itu telah dilanda banjir dan kerajaan tempatan menjelaskan sekurang-kurangnya 51 haiwan di taman itu telah mati.

“Haiwan sangat menderita saat musim banjir melanda taman ini.

“Banyak haiwan mati, bahkan gajah juga turut dihanyutkan,” kata Sarma yang sering menolong pegawai di taman itu dalam usaha menyelamatkan haiwan yang ada di situ.

Kata Dr. Sarma lagi, lazimnya apabila banjir melanda, anak gajah akan terpisah dengan ibu mereka.

SETIAP kali musim monsun tiba di wilayah Assam, India, populasi gajah di situ turut terancam kerana terdapat kes arus deras banjir menghanyutkan haiwan tersebut. – GAMBAR HIASAN

Dalam situasi seperti itu, anak gajah memerlukan penjagaan dan sokongan tambahan.

“Itulah sebabnya saya menyalurkan pertolongan semasa banjir.

“Saya akan datang ke taman ini dan mencuba untuk menyelamatkan sebanyak mungkin haiwan,” jelasnya.

Sementara itu, Dr. Sarma telah menjelajah hutan tebal di Assam dan menemui dan merawat ribuan gajah.

Salah seekor gajah yang dekat di hatinya adalah Geeta iaitu seekor gajah betina yang tinggal di Taman Negara Kaziranga.

“Ketika saya berkunjung ke Amerika Syarikat (AS), saya mendapat berita bahawa seseorang telah menembak Geeta ketika dia berada di taman tersebut.

“Geeta bernasib baik kerana daripada lima butir peluru yang dilepaskan kepadanya, tiada satu pun yang mengenai mana-mana organ penting di tubuhnya. Tetapi saya sangat cemas pada ketika itu apabila mengetahui nasib yang menimpanya,” ujarnya.

Tambahnya, dia seboleh-bolehnya mahu pulang ke India semata-mata untuk merawat haiwan tersebut pada ketika itu.

Bagaimanapun, dia hanya mampu membantu merawat Greeta melalui panggilan telefon.

Seminggu kemudian sekembalinya dia dari AS, Dr. Sarma terus bergegas ke taman itu untuk bertemu dengan Geeta.

“Saya memberi jaminan akan melayannya dengan baik dan akan mengeluarkan kesemua peluru.

“Setelah mencari peluru dengan alat pengesan logam, saya mengeluarkan tiga peluru pertama melalui pembedahan,” tegasnya.

Jelasnya, lagi dua butir peluru tertanam jauh di dalam tubuh haiwan tersebut dan sukar dikeluarkan.

Dia tidak berputus asa untuk meneruskan rawatan dan akhirnya setelah lima kali pembedahan, kesemua peluru dapat dikeluarkan.

Dalam pada itu, walaupun Dr. Sarma menyukai pekerjaan yang dilakukannya sejak sekian lama itu, namun dia mengetahui bahawa dirinya juga terdedah dengan risiko bahaya.

Tegasnya, dia juga turut mempertaruhkan nyawanya beberapa kali ketika merawat dan menyelamatkan haiwan tersebut.

“Saya sering bertanya-tanya, bagaimana saya boleh bertahan.

“Suatu ketika saya pernah menghabiskan sepanjang malam di sebatang pohon untuk mencuba menenangkan seekor gajah liar yang ditangkap untuk merawatnya,” jelasnya.

Walaupun berdepan dengan risiko, dia gembira melakukan kerja itu.

Dr. Sarma berharap, apa yang dia lakukan dapat memberi inspirasi kepada anak perempuannya yang menamatkan pengajian dalam bidang sains verterinar untuk meneruskan legasi tersebut.
Anaknya juga turut menunjukkan minat sama kerana sering membantunya merawat gajah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI