fbpx

Masih gian judi online walaupun bertongkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua lelaki warga emas antara 10 kaki judi diberkas polis dalam satu serbuan di Batu 13 Puchong malam tadi.

PUCHONG – Walaupun mengalami strok dan terpaksa bertongkat, namun seorang lelaki warga emas sanggup menaiki tangga ke premis yang terletak di tingkat satu demi melepaskan gian bertaruh judi online.

Suspek antara dua lelaki warga emas yang masing-masing berusia 70 dan 77 tahun diberkas bersama lapan kaki judi lain dalam serbuan Ops Dadu di Pusat Komersial Jalan Koi, Batu 13 Puchong malam tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, hasil siasatan mendapati, premis terbabit menawarkan aktiviti judi online kepada pelanggan tetap dan beroperasi 24 jam.

Katanya, pelanggan akan menekan loceng di luar premis dan penjaga akan mengenal pasti pelanggan terbabit menerusi rakaman kamera televisyen litar tertutup (CCTV) sebelum dibenarkan masuk.

“Ketika serbuan dilakukan, terdapat 10 pemain terdiri daripada sembilan lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Bangladesh sedang leka bertaruh judi online.

“Turut ditahan dalam serbuan itu, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun yang juga pemilik serta empat pekerja terdiri daripada dua wanita warga Indonesia dan sepasang suami isteri warga Myanmar berusia lingkungan 20-an,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, pemilik premis menawarkan aktiviti judi online sejak empat tahun lalu dan pertama kali diserbu polis.

“Ppemilik mampu menjana keuntungan bersih RM8,000 sebulan hasil kegiatan haram itu selepas membayar gaji RM1,200 sebulan kepada setiap pekerja,” ujarnya.

Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Pertaruhan 1953.

Selain itu, kesemua mereka turut dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI