fbpx

Tumpahan minyak: Empat kapal dikenal pasti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kerja-kerja pembersihan sisa tumpahan minyak giat dilakukan di pesisir pantai dan paya bakau di Tanjung Tuan, Melaka.

MELAKA – Sebanyak empat buah kapal telah disenaraikan dalam insiden kes tumpahan minyak di Pantai Tanjung Tuan, Alor Gajah pada dua minggu lalu.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Rosli Osman berkata, melalui kerjasama pihak Jabatan Laut Malaysia, keempat-empat kapal tersebut dikesan berlabuh di perairan itu dalam tempoh kejadian berlaku.

“Berdasarkan kerjasama dengan Jabatan Laut Malaysia, kita dapati kira-kira 20 buah kapal dikesan berlabuh di perairan itu.

“Walau bagaimanapun, hanya empat buah kapal yang disenaraikan terlibat dalam insiden berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, keputusan ujian makmal berdasarkan sampel yang diambil dari kapal-kapal terbabit itu juga dijangka siap pada minggu hadapan.

“Pelbagai kaedah siasatan telah dijalankan oleh pegawai penyiasat dari negeri ini dan Negeri Sembilan bagi melaksanakan ujian terbabit.

“Antara kaedah tersebut termasuklah ‘finger print test’ dengan mengambil sampel minyak daripada beberapa buah kapal terbabit bagi mengesan elemen persamaan dengan tumpahan minyak di laut,” katanya.

Pada 13 Oktober lalu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan mengesan tumpahan minyak di perairan Tanjung Tuan dan Pantai Cermin di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Tumpahan yang disifatkan terbesar berlaku pada tahun ini disebabkan hampir 10 tan metrik sisa minyak telah mencemari perairan berkenaan di kedudukan 1.3 batu nautika menghala ke Pulau Perjudi.

Kira-kira 4,000 batang pokok di Tanjung Tuan turut terjejas sehingga memerlukan kerja-kerja pembersihan dan pemuliharaan sepanjang pantai berkenaan terpaksa dijalankan selama seminggu.

Pelbagai kaedah juga digunakan termasuk penggunaan alatan seperti ‘absorbent boom’ dan ‘absorbent pad’ bagi menyerap tumpahan sisa minyak di lokasi tercemar. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI