fbpx

Parlimen Thailand bincang isu protes jalanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota Parlimen Thailand mengadakan persidangan tergempar semalam susulan protes besar-besaran sejak beberapa minggu lalu di sekitar kota Bangkok, Thailand. – AFP

BANGKOK – Parlimen Thailand bersidang semalam untuk membincang mengenai pergerakan kumpulan prodemokrasi yang mendesak Perdana Menteri ­Prayut Chan-O-Cha meletak jawatan dan pembaharuan dilakukan ke atas kerajaan.

Chan-O-Cha, bekas ketua tentera di sebalik rampasan kuasa tahun 2014, berdepan tekanan yang kian meningkat sejak beberapa minggu lalu daripada kumpulan penunjuk perasaan.

Perdana menteri itu memanggil Parlimen untuk bersidang dan membincangkan langkah-langkah menangani tekanan semasa peserta prodemokrasi.

“Ini membabitkan soal bagaimana menangani situasi peserta protes,” kata Tankhun Jittitsara, setiausaha kepada Speaker Dewan, Chuan Leekpai.

Peserta rali mahu Chan-O-Cha meletak jawatan, merombak semula Perlembagaan dan me­nuntut kerajaan Thailand menghentikan ‘pencabulan’ terhadap ahli-ahli pembangkang.

Bagaimanapun, sesi bersidang selama dua hari itu tidak membincangkan mengenai tuntutan peserta protes tetapi memberi fokus terhadap ‘himpunan ha­ram’, menurut satu kenyataan Parlimen pada minggu lalu.

Beberapa peserta protes secara terbuka mencabar institusi monarki, salah satu perbuatan yang diharamkan di Thailand dengan wujudya undang-undang tegas melindungi kerabat diraja.

Ketegangan memuncak pada awal bulan ini selepas satu kumpulan penunjuk perasaan me­nunjukkan simbol tiga jari ke arah konvoi Permaisuri Suthida.

Selepas insiden itu, perdana menteri bertindak balas dengan mengenakan darurat yang mengharamkan perhimpunan melebihi empat orang dengan sejumlah aktivis ditangkap.

Chan-O-Cha terpaksa membatalkan darurat itu se­minggu kemudian selepas gagal menghalang protes beribu-ribu orang muda di seluruh Bangkok.

Isu konvoi diraja itu turut dibahaskan di Parlimen.

“Kumpulan penunjuk pe­rasaan menyatakan itu bukan la­luan konvoi yang dirancang untuk Permaisuri Thailand, tetapi kerajaan memberitahu permaisuri bebas ke mana sahaja.

“Tiada sesiapa tahu mengenai kebenaran, jadi kami berbincang mengenainya,” kata Jittitsara.

Seramai tiga aktivis didakwa di bawah undang-undang ‘keganasan terhadap Permaisuri’ yang boleh dihukum penjara seumur hidup sekiranya mereka disabitkan bersalah.

Antara tuntutan terhadap rombakan institusi diraja Thailand ialah menghapuskan undang-undang fitnah dan menuntut Raja Maha Vajiralongkorn tidak campur tangan dalam urusan politik.

Semalam, sebilangan penyokong kerabat diraja berbaju kuning berhimpun di luar Parlimen untuk menyatakan sokongan kepada pihak monarki.

Mereka turut mendesak ahli-ahli Parlimen agar tidak melakukan pembaharuan terhadap ins­titusi monarki. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI