fbpx
MAJLIS perkahwinan Nauraj (dua dari kiri) dan Irina (dua dari kanan) turut dihadiri pemegang rekod lempar cakera kebangsaan, Muhammad Irfan Shamsuddin (kiri) yang kini menjalani latihan di Eropah.

Nauraj pindah ke Jerman demi isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAGOAN lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa membuat keputusan untuk berhijrah ke Eropah secara tetap selepas melangsungkan perkahwinan dengan wanita pilihannya berusia 28 tahun dari Jerman, Irina Kuhltau di Leipzig pada 16 Oktober lalu.

Nauraj, 28, nekad menjadikan Jerman sebagai ‘rumah’ baharunya kerana enggan berjauhan lagi dengan isterinya selepas pasa­ngan itu mengharungi hubungan jarak jauh selama hampir dua tahun setengah.

Walaupun berkelana ke Jerman sejak Ogos lalu, namun pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 2.30 meter (m) itu sama sekali belum bersara daripada karier olahraganya dan akan tetap mewakili Malaysia dalam semua kejohanan antarabangsa disertainya selepas ini.

“Pada mulanya saya bercadang untuk berkahwin di Jerman selepas berakhir Sukan Olimpik 2020 tetapi malangnya temasya itu ditunda ke tahun depan. Di­sebabkan itu, banyak peranca­ngan saya berubah, selain beberapa lagi perkara lain termasuk Covid-19.

“Sekarang saya memilih untuk tinggal di sini (Jerman) atas ba­nyak faktor kerana selain sukan, saya juga mahu kehidupan bersama isteri. Saya akan pulang (ke Malaysia) kalau rindu keluarga, rakan-rakan, makanan Malaysia atau kejohanan penting seperti Terbuka Malaysia.

“Saya mengeluarkan duit sendiri membayar khidmat Jan May yang akan menjadi jurulatih saya di sini. Sekarang saya sedang bersiap sedia untuk menghadapi fasa pertandingan dalam usaha melayakkan diri ke Olimpik Tok­yo tahun depan,” katanya eks­klusif kepada Kosmo! semalam.

Antara faktor lain penghijrahan Nauraj ke Jerman kerana ia memudahkan urusan pemenang tiga pingat emas Sukan SEA itu untuk cuba melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun yang akan berlangsung Julai tahun depan.

Ini kerana atlet dari Johor itu berpeluang menyertai banyak kejohanan berprestasi tinggi di sekitar Eropah sebaik tempoh kelayakan Sukan Olimpik Tokyo kembali dibuka bermula 1 Disember depan.